SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
hari ini sekali lagi ‘menjentik’ Menteri Besar Selangor, Azmin Ali
berhubung isu penstrukturan air yang masih belum selesai.
Menurut Abdul Khalid, beliau yakin rakyat Selangor kecewa dengan sikap
kerajaan negeri serta Azmin sendiri yang dilihat seakan
melengah-lengahkan proses pengambilalihan empat syarikat konsesi air.
“Saya yakin ramai rakyat di Lembah Kelang secara amnya dan Selangor khususnya kecewa dengan sikap Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besar yang jelas tiada kewibawaan mahupun komitmen untuk menyelesaikan dengan segera penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri.
“Sejak hari pertama mengepalai pentadbiran negeri pada hujung bulan September 2014 hinggalah ke hari ini, Menteri Besar bukan sahaja kelihatan sengaja melengah-lengahkan proses pengambilalihan keempat-empat syarikat konsesi air, malah gagal menggariskan satu pelan tindakan terperinci, lengkap dengan langkah-langkah konkrit untuk menyelesaikan semua isu berkaitan perkhidmatan air.
“Sebaliknya, apa yang beliau mampu lakukan hanyalah melemparkan pelbagai kenyataan mengelirukan, dolak-dalik retorik, dakwaan tempang dan tuduhan tidak berasas terhadap pihak-pihak berkepentingan yang lain terutama Kerajaan Persekutuan.
"Sama ada beliau memang tiada kompetensi atau sebenarnya ada udang di sebalik batu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abdul Khalid yang juga Adun Pelabuhan Klang sempat memberi ‘amaran’
sekali lagi kepada Azmin supaya Timbalan Presiden PKR itu segera meletak
jawatan jika tidak berupaya menyelesaikan isu penstrukturan air.
“Setelah berulang kali saya menegaskan tiada kompromi dalam proses memuktamadkan penstrukturan semula industri Selangor demi kemaslahatan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dijangka bakal mengalami masalah bekalan air kritikal sekiranya Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) gagal disiapkan menjelang 2017.
"Saya yakin Kerajaan Persekutuan tidak akan teragak-agak
menguatkuasakan Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 khususnya Seksyen
114 sekiranya usaha ini menemui jalan buntu.
“Sekiranya Menteri Besar sendiri sedar akan had keupayaan peribadi dan
mana-mana kekangan lain untuk memuktamadkan segera penyusunan semula
industri air Selangor pada kos keseluruhan tidak melebihi RM9.65
billion, maka saya ulang gesaan yang pernah saya utarakan di dalam DUN
Selangor sebelum ini.
"Keikhlasan mendahulukan rakyat akan terpancar jika beliau berundur
sekarang supaya Dun Selangor dapat mencari seorang pengganti yang
benar-benar layak, berkemampuan dan berkebolehan untuk melaksanakan
tanggungjawab berat ini,” katanya.
Semasa memegang tampuk pemerintahan Selangor, Abdul Khalid antara
individu yang paling giat berusaha untuk menyelesaikan isu air di
Selangor sehingga termeterainya perjanjian antara Selangor dengan
Kerajaan Persekutuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.