shahbudindotcom
Perkembangan
terkini dalam blok pembangkang menunjukkan bukan saja sebuah parti
Islam baru bakal wujud tidak lagi, bahkan juga akan disusuli dengan
penyusunan semula Pakatan Rakyat yang benar-benar beraspirasi mahu
menggantikan BN mentadbir negara ini.
Setelah
kumpulan progresif Pas yang menggelarkan diri mereka G18 mengadakan
beberapa pertemuan, seorang daripada anggotanya, Khalid Samad hari ini
mengesahkan mengenai penubuhan sebuah parti Islam baru itu.
Katanya,
parti baru itu berkonsepkan untuk semua tanpa mengira kepercayaan
dengan teras perjuangannya ialah untuk memerangi rasuah dan menegakkan
keadilan kepada rakyat.
Sebelum
ini beberapa pemimpin progresif Pas seperti Mohamad Sabu, Nizar
Jamaluddin dan lain-lain turut membayangkan perkara yang sama yang
sekaligus menunjukkan mereka ini sudah tawar hati dengan trend
perjuangan yang dibawa oleh Pas pro ulama sekarang.
Pada
malam semalam juga, kumpulan G18 ini turut mengadakan pertemuan dengan
pimpinan utama PKR dan DAP di kediaman bekas Setiausaha Agung Pas,
Kamaruddin Jaafar yang dipercayai sebagai tanda-tanda awal kepada
penyusunan semua Pakatan Rakyat yang dalam keadaan tidak menentu ketika
ini.
Antara
pemimpin PKR yang hadir dalam pertemuan itu ialah Dr Wan Azizah Wan
Ismail, Tian Chua, Johari Abdul, Saifuddin Nasution dan Shamsul Iskandar
manakala daripada DAP pula ialah Lim Kit Siang, Teresa Kok, Liew Chin
Tong dan beberapa yang lain.
Dengan
adanya pertemuan tersebut serta kehadiran pemimpin utama PKR dan DAP,
kebarangkalian paling nyata ialah bukan saja penubuhan sebuah parti
Islam baru akan menjadi kenyataan tidak lama lagi tetapi juga penyusunan
semua Pakatan Rakyat yang lebih mantap dan kuat.
Adalah
dijangkakan sebaik saja parti baru itu disahkan penubuhannya, ia akan
terus memohon menyertai Pakatan Rakyat atau PKR dan DAP sendiri yang
akan mencadangkan kemasukannya ke dalam gabungan pembangkang.
Ia
akhirnya terserah kepada Pas sama ada mahu terus kekal bersama Pakatan
Rakyat atau secara sukarela "mencari selipar dan berlaku pergi"
meninggalkan gabungan itu.
Jika
Pas mahu terus kekal, bermakna Pakatan Rakyat baru ini akan dianggotai
oleh empat parti, tetapi kiranya Pas memilih untuk mengundurkan diri ia
akan kekal dianggotai oleh tiga parti.
Pertemuan
kumpulan G18 dengan pimpinan PKR dan DAP ini diadakan hanya beberapa
jam selepas Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan
daripada Penjara Sungai Buloh yang melahirkan keyakinan bahawa gabungan
pembangkang akan menjadi lebih kuat setelah melalui penyusunan
semulanya.
Sambil
menegaskan bahawa Pakatan Rakyat masih berfungsi sama ada di peringkat
negeri mahupun Parlimen, Anwar berkata, barisan pembangkang selepas
disusun semula dengan kekuatan baru, termasuk sokongan NGO-NGO, akan
muncul lebih kuat dan bersatu selepas ini.
Beserta
ikrar tidak akan meninggalkan perjuangan ini selagi nyawa dikandung
badan, Anwar ternyata tidak sekadar membaca buku dan mengaji Al Quran
saja ketika mendekap di penjara.
Sepertimana
jangkaan banyak pihak sebelum ini, kehidupan di penjara tanpa tekanan
dan gangguan akan membuatkan Anwar lebih bebas berfikir dan merangka
strategi yang lebih baik untuk kepentingan Pakatan Rakyat bagi
menghadapi pilihanraya akan datang.
Serentak
dengan itu, tidak disangsikan lagi bahawa penubuhan parti Islam baru
dan penyusunan semula Pakatan Rakyat yang sedang direncanakan ini adalah
dalam pengetahuan dan restu Anwar sepenuhnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.