KUALA LUMPUR:  Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang mengesa tindakan memmbubarkan Biro Tatanegara (BTN) yang ternyata membazirkan wang yang berjumlah RM1.1 bilion untuk mengadakan program itu selama 30 tahun ini.


“BTN mempromosikan dakyah perkauman, perpecahan, ketaksuban, dan tidak tolenransi dan bukan bertujuan untuk memupuk perpaduan, integrasi pelbagai kaum, agama dan persefahaman serta semangat muhibah.

“Bekas penjawat awam berjawatan tinggi berbangsa Melayu juga mengkritik BTN dengan gelaran ‘Ultra Malay-racist’,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah mengesa perkara itu, kerana beliau mendakwa, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak gagal untuk membuat rombakan ke atas BTN seperti yang dijanjikan lima tahun lalu.

“Seorang pegawai kanan BTN pernah menggunakan perkataan ‘si mata sepet’ dan ‘si botol’ dalam dewan tertutup Perhimpunan Puteri UMNO untuk mengambarkan kaum Cina dan India, tetapi jelas menunjukkan tiada yang berubah dan BTN kekal dengan usaha mereka mencuci pemikiran dan memupuk perkauman, yang bertentangan dengan konsep Malaysia dan polisi 1Malaysia Najib dalam perkhidmatan awam di negara ini.”

Katanya, walaupun BTN telah menarik balik kandungan (folder presentation) dari laman webnya yang mengandungi ‘presentation slides’ termasuk video yang mengandungi unsur perkauman oleh pegawai BTN, Kit Siang menegaskan masanya telah tiba untuk mengambil tindakan tanpa kompromi terhadap mana-mana individu.

Beliau juga menyatakan kekecewaan terhadap Najib yang berdiam diri mengenai isu ini sehingga sekarang.
Kit Siang menambah, daripada membazirkan sejumlah RM1.1 bilion kepada BTN, lebih baik menggunakan wang itu untuk membantu golongan miskin yang memerlukan dan kurang bernasib baik tanpa mengira agama dan bangsa.