MALAYSIAKINI
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan
Mohamad meminta supaya peguam Umno Tan Sri Shafee Abdullah supaya tidak
masuk campur dengan urusan jawatankuasa itu.
Nur Jazlan berkata Shafee juga tiada hak untuk meminta MP Petaling Jaya
Utara Tony Pua supaya meletakkan jawatannya dalam PAC kerana menjadi
terlalu kritikal terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Beliau (Shafee) tidak mempunyai hak untuk meminta ahli PAC yang
merupakan ahli badan perundangan, cabang ketiga daripada kerajaan serta
dipilih oleh rakyat.
"Secara peribadi saya fikir dia (Pua) telah membantu untuk
mengetengahkan isu 1MDB yang mana majoriti rakyat Malaysia percaya
bahawa PAC akan menolak isu ini dan memihak kepada kerajaan.
"Kami bekerja dengan baik sebagai satu pasukan," kata Nur Jazlan kepada Malaysiakini.
Menurut Nur Jazlan lagi, Pua tidak pernah menggunakan sebarang maklumat
daripada perbicaraan PAC mengenai 1MDB dalam mana-mana kenyataannya dan
kebanyakkannya daripada jawapan Parlimen dan sumber lain.
"Pua melakukan dua peranan iaitu sebagai ahli parlimen untuk Petaling
Jaya Utara dan ahli PAC. Dan sejauh mana yang saya tahu, dia tidak
menggunakan apa-apa maklumat daripada perbicaraan PAC mengenai 1MDB di
dalam kenyataannya.
"Apa sahaja maklumat yang digunakan dalam kenyataannya itu diperolehi
daripada jawapan Parlimen dan sumber-sumber lain," katanya lagi.
Nur Jazlan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Shafee dalam
laporan akhbar Berita Harian yang meminta Pua meletakkan jawatan sebagai
ahli PAC bagi memastikan penyiasatan 1MDB dilakukan secara adil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.