THE RAKYAT POST
Rafizi, Pengarah National
Oversight & Whistleblowers (NOW) mendakwa beliau telah memperolehi
satu dokumen dalaman MARA yang boleh memberi banyak maklumat penting
mengenai skandal MARA melibatkan pembelian beberapa hartanah di
Australia. - Foto nowmalaysia.org
KUALA LUMPUR- Pendedahan akhbar Australia The Age
mengenai apa yang didakwanya penipuan dalam urus niaga pembelian
hartanah di Melbourne oleh sebuah anak syarikat Majlis Amanah Rakyat
(MARA) terus digunakan sebagai peluang “rezeki terpijak” untuk pemimpin
tertentu parti pembangkang untuk mencalarkan imej agensi kerajaan Pusat
itu serta parti Barisan Nasional (BN) yang menguasai Putrajaya.
Setakat tengah malam ini, sekurang-kurangnya dua pihak berusaha untuk menarik perhatian media untuk membuat liputan pada Isnin.
Pada sebelah pagi Ahli Parlimen
PKR-Pandan, Rafizi Ramli berkata beliau akan mengadakan satu sidang
media kerana telah memperolehi satu dokumen dalaman MARA.
Rafizi yang membuat jemputan atas kapasiti Pengarah National Oversight & Whistleblowers (NOW)
mendakwa dokumen dalam tangan beliau itu memberi banyak maklumat
penting mengenai skandal MARA melibatkan pembelian beberapa hartanah di
Australia.
“Maklumat-maklumat ini akan memberi gambaran penting keterlibatan MARA dalam urusniaga-urusniaga ini.
“Saya akan mengadakan satu sidang media (dalam beberapa siri sidang media) mengenai perkara ini,” katanya.
Sidang media beliau yang juga Naib
Presiden PKR akan diadakan pada jam 10.30 pagi di pejabat badan bukan
kerajaan (NGO) itu di 35-2 The Trillium, Jalan Tasik Utama 6, Medan
Niaga Tasik Damai, Sungai Besi, Kuala Lumpur.
NOW yang sebelum dalang utama di sebalik pendedahan mengenai dakwaan penyalahgunaan dana National Feedlot Corporation (NFC) yang kini sedang dibicarakan di mahkamah agak jarang memanggil sidang media di pejabatnya itu.
Terdahulu pada 24 Jun lalu, NOW menerusi
satu kenyataan mendakwa semakan pihanya dengan Suruhanjaya Sekuriti dan
Pelaburan Australia (ASIC) mendapati pembelian hartanah oleh MARA Inc
itu dipercayai membabitkan sebuah syarikat, Thrushcross Land Holding
Ltd.
Siasatan yang dijalankan NOW terhadap
Thrushcross Land Holding Ltd yang disyaki terlibat dalam transaksi
berkenaan pula mengesahkan syarikat itu telah didaftarkan di Kepulauan
British Virgin.
Thrushcross dipercayai dikawal oleh MARA
melalui anak syarikatnya iaitu MARA Inc, dakwa NOW dalam kenyataan yang
dikeluarkan atas nama Rafizi dan seorang lagi Pengarahnya, Akmal Nasir.
Pada sebelah petang pula, sebuah lagi
parti pembangkang, PAS memaklumkan kepada media mahu menyerahkan
memorandum menuntut siasatan telus oleh MARA terhadap dakwaan yang
mengaitkan anak syarikatnya MARA Inc dengan penipuan urus niaga
pembelian hartanah pada harga lebih tinggi dari nilai pasaran sebenar di
Melbourne itu.
Rombongan PAS yang membawa memorandum
berkenaan ke Ibu Pejabat MARA di Jalan Raja Laut di ibu negara
akan diketuai oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dr Mahfoz
Mohammad.
Turut akan mengiringi beliau dikatakan
Ketua Penerangan DUPP, Khairuddin Takiri Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri
Selangor (DUPNS), Rizuan Rahmat serta Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Ajk
Dewan Ulamak Pas Selangor.
Bacaan memorandum dan sidang media
selepas memorandum diserahkan pada kira-kira jam 2.30 petang akan
dibuat oleh Dr Mahfoz di perkarangan Ibu Pejabat MARA.
Laporan The Age pada 23 Jun lalu mendakwa
pembelian bangunan Dudley International House yang sepatutnya pada
harga pasaran kira-kira RM51.5 juta telah dibeli pada harga RM65.4 juta
yang mana lebihan RM13.8 juta daripada nilai sebenar itu didakwa telah
diselewengkan untuk membayar rasuah di Malaysia.
Dudley International House merupakan
bangunan lima tingkat asrama penginapan pelajar yang dibeli oleh MARA
bagi menempatkan 115 pelajar tajaan biasiswanya di Monash University.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.