MESKIPUN baharu tiga hari dibenarkan keluar hospital selepas menghadapi
pembedahan di perut, ia tidak menghalang isteri Adam Corrie Lee
Abdullah, Fazema Mohd Fuad untuk bersama-sama menunaikan ibadah umrah
bersama suaminya.
Menceritakan pengalaman menunaikan umrah bersama, Adam Corrie, 40,
menerusi tulisan di akaun Facebooknya mengagumi kegigihan isterinya
dalam menahan sakit untuk bersama menunaikan ibadah kepada ALLAH.
“Enam hari sebelum berangkat ke Tanah Suci, bidadari (isteri) saya
dimasukkan ke hospital untuk pembedahan di bahagian perutnya.
“… doktor bagi cuti sakit selama 44 hari. Dalam keadaan yang tidak
sihat tetapi oleh kerana rasa tanggungjawab kendalikan program umrah
'Kembara Iman Saudara Baru', bidadari saya pergi juga umrah bersama,”
katanya.
Menurutnya lagi, atas nasihat doktor, Fazema terpaksa menggunakan kerusi roda ketika hari pertama menunaikan umrah.
“Hari pertama sampai di Mekah saya bantu bidadari saya pakai wheel
chair (kerusi roda) tunaikan umrah kerana tak (tidak) boleh berdiri dan
berjalan lagi.
“Hari ketiga, pada pukul 10:30 malam program kami mendaki Bukit Nur atau Jabal Nur pula,” ujarnya.
Hasrat Fazena untuk terus menunggu di dalam bas sementara jemaah lain
mendaki bukit tidak kesampaian apabila bas yang dinaiki sudah berlepas.
“Bidadari saya kata;"Mungkin ALLAH nak (mahu) kita daki juga walaupun
dalam keadaan tidak sihat. Isteri Rasulullah SAW, Siti Khadijah dulu
berulang alik daki Jabal Nur hantar makanan ketika sedang hamil 8 bulan.
Tidak ada masalah, Alhamdulillah.
“... Hanya berbekalkan tongkat mendaki Jabal Nur dan saya yang
memimpinnya di waktu malam. Alhamdulillah.... Bidadari saya selamat
sampai kemuncak Jabal Nur dan dapat masuk Gua Hira pada pukul 12:15
malam dengan izin ALLAH,” katanya lagi menerusi tulisannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.