THE RAKYAT POST
Kenyataan Shahrir
dipercayai berkaitan syarikat Thrushcross Land Holding Ltd yang didaftar
di Kepulauan British Virgin yang disyaki terbabit dalam pembelian
Dudley House. - Foto TRP/SM Amin
JOHOR BAHARU - Kontroversi dakwaan penipuan dalam urus
niaga pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Australia
baru-baru ini menimbulkan persoalan sama ada berlakunya penubuhan sebuah
syarikat luar pesisir di kawasan-kawasan perlindungan cukai atau
syarikat “offshore tax haven” di bawah anak syarikatnya MARA Incorporated (Inc.).
Persoalan itu dibangkitkan Pengerusi
Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad
yang tercari-cari punca yang mengakibatkan hartanah yang dibeli MARA
itu melambung tinggi daripada harga pasaran.
Jika benar ada syarikat “offshore tax haven”
ditubuh bagi tujuan pembelian hartanah tersebut, kata Shahrir,
persoalan seterusnya ialah mengenai kelulusan penubuhan anak syarikat
MARA Inc itu di luar negara memandangkan ia terletak di bawah kuasa
pimpinan tertinggi agensi berkenaan.
Shahrir,
Ahli Parlimen BN-Johor Baharu turut mempertikaikan mengenai
bagaimana ‘salah keputusan’ dalam urusan pembelian hartanah
bernilai US$17.8 (RM51.5 juta) pada harga US$22.5 (RM65.4 juta) juta
berlaku walaupun proses penilaian harta dan ‘due diligence‘ (segala proses wajar) telah dijalankan.
“MARA melakukan ‘due diligence‘
dan penilaian harta yang nak dibeli. Syarikat yang melakukannya
tentunya syarikat Australia, bukan hanya Malaysia, tapi juga
antarabangsa.
“Prosesnya melibatkan pihak ketiga yang membuat ‘due diligence’ dan penilaian harta itu. Kalau proses itu dah betul bagaimana (berlaku) soal salah keputusan.
“Kalau salah keputusan, mungkin kerana adanya MARA Inc menubuhkan pula syarikat ‘offshore tax haven‘,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post.
Jika andaian itu benar,
Shahrir mempertikaikan mengenai kebenaran dan kelulusan penubuhan
syarikat luar pesisir di kawasan perlindungan cukai itu, yang juga turut
dipertikai oleh pihak MARA.
“Itu yang menimbulkan tanda tanya. Soalnya siapa yang berikan kebenaran untuk penubuhan syarikat di ‘offshore tax haven‘
itu?” kata Shahrir ketika diminta mengulas berkenaan isu berkenaan yang
kini bukan sahaja sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) yang menghantar pegawainya ke Australia, malahan juga
turut diselidik pihak berkuasa negara itu.
Menurut Shahrir, beliau melihat adanya
‘kelompongan’ yang perlu dikenalpasti oleh pasukan penyiasat bagi
menyelesaikan kes yang kini menjadi perhatian dunia itu.
“Kuasa tertinggi masuk kepada MARA, selepas MARA Council (Majlis MARA).
“Sama ada penubuhan syarikat offshore company itu
juga dipersetujui oleh pihak MARA, itu soalnya dan itu saya tidak tahu,
itu yang nampak lompong. Tapi (perkara ini) dalam siasatan, jadi biar
di siasat,” tambahnya.
Terdahulu pada 24 Jun lalu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), National Oversight and Whistleblowers (NOW)
menerusi satu kenyataan mendakwa semakan pihanya dengan Suruhanjaya
Sekuriti dan Pelaburan Australia (ASIC) mendapati pembelian hartanah
MARA itu dipercayai membabitkan sebuah syarikat.
“Siasatan yang dijalankan oleh National Oversight and Whistleblowers (NOW)
terhadap syarikat Thrushcross Land Holding Ltd yang disyaki terlibat
dalam transaksi ini mengesahkan bahawa syarikat ini telah didaftarkan di
Kepulauan British Virgin.
“Thrushcross dipercayai dikawal oleh MARA
melalui anak syarikatnya iaitu MARA Inc,” dakwa NOW dalam kenyataan
yang dikeluarkan atas nama dua Pengarahnya iaitu Rafizi Ramli dan Akmal
Nasir.
Menurut NOW lagi, seorang pengarah utama
Thrushcross adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kawasan
Parlimen Semporna, Sabah selama dua penggal.
“Mengapa syarikat yang terlibat dalam
urusniaga ini iaitu, Thrushcross Land Holding Ltd didaftarkan di
Kepulauan British Virgin yang terkenal sebagai destinasi untuk
berlindung daripada cukai?
“Mengapa ianya tidak didaftarkan terus di
Malaysia atau Australia?” soal Rafizi yang juga Ahli Parlimen
PKR-Pandan menerusi kenyataan NOW itu.
Bagaimanapun, Namun NOW menyambut baik
komitmen Perdana Menteri yang mahu pihak berkuasa menyiasat dengan
teliti dakwaan penipuan pembelian hartanah yang dilemparkan terhadap
MARA itu.
Dakwaan penipuan dalam urusan jual beli
hartanah MARA di Melbourne ini mulanya didedahkan melalui laporan
eksklusif akhbar Australia, The Age pada 23 Jun lalu.
Laporan The Age mendakwa anak syarikat
MARA, MARA Inc telah membayar kepada pihak pemaju sebuah apartmen di
bandaraya itu sebanyak A$4.75 mil (RM13.68 mil) lebih tinggi daripada
nilai sepatutnya.
Hartanah bernama Dudley House itu
digunakan untuk menempatkan 115 pelajar tajaan biasiswa MARA yang sedang
melanjutkan pelajaran di Univerisiti Monash.
Menurut laporan akhbar itu transaksi yang
dipersetujui pemaju warga Australia dan usahawan Malaysia bagi
pembelian apartment itu pada awalnya pada harga A$17.8juta, sebelum
nilai hartanah itu tiba-tiba meningkat kepada A$22.5 juta.
Malah akhbar berkenaan tanpa berselindung
turut menyebut nama pegawai tertinggi MARA, yang juga seorang bekas
ahli politik di negara ini dalam laporannya selain mendakwa wang lebihan
daripada perbezaan nilai pasaran sebenar pembelian bangunan hartanah
itu telah diselewengkan untuk membayar rasuah di Malaysia.
Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa dalam
sidang media keesokannya (24 Jun) dilaporkan berkata, pembelian
pangsapuri berkenaan dilakukan mengikut semua proses ditetapkan, malah
ia turut diluluskan Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.