Besar kemungkinan jika PAS tersisih daripada Pakatan Rakyat dan
digantikan parti baru yang ditaja oleh pemimpin-pemimpin serpihan PAS
atau G-18, ia tidak akan menjadikan Pakatan berkenaan lebih kukuh.
Ini kerana bukan automatik penyokong PAS akan berpindah kiblat politik
mereka dan langsung menyebelahi perjuangan perjuangan G-18. Malah
mungkin sebaliknya pula akan berlaku.
Penyokong
tegar PAS masih lagi majoriti dari kalangan lebih 1.3 juta ahlinya.
Ketaatan mereka pada pimpinan PAS sukar diubah. Malah apabila ada di
kalangan pemimpin PAS yang cuba “mengkhianati” perjuangan, mereka
ditolak.
Dalilnya ialah keputusan muktamar PAS ke-61 awal bulan ini. Meskipun
golongan profesional disanjung kerana memberi nafas baru pada arah tuju
PAS, sekilas kumpulan ini dilihat cuba mengancam kedudukan ulama, mereka
“ditendang” keluar daripada saf kepimpinan.
Bayangkan jika G-18 ini menjadi parti politik dan bertanding dalam
pilihanraya umum menentang PAS, sudah tentu “kebencian” penyokong tegar
PAS akan menyungkurkan mereka.
Majoriti ahli PAS menyokong parti itu kerana percaya pada ulama. Bagi
mereka, ulama telah berusaha mengasah bakat politik golongan profesional
dalam skim “mengulamakkan profesional dan memprofesionalkan ulama”.
Malah ulama juga yang memutuskan bahawa profesional ini diletakkan
sebagai calon PAS bertanding di ‘kerusi yang selamat’ demi memastikan
kemahiran dan pengetahuan ikhtisas mereka dimanfaatkan sepenuhnya.
Maka
berpeluanglah calon seperti Salahudin Ayub dan Dr Hatta Ramli, mendapat
kerusi “selamat” di Kelantan. Jika ulama PAS kolot dan tamak kuasa,
tentu semua kerusi mudah akan diisi golongan mereka sahaja.
Yang menjadi persoalan, jika G-18 menjadi sebuah wadah politik,
bolehkah mereka menggamit simpati rakyat yang dikatakan kini sudah muak
dengan gelagat Umno dan mahu perubahan kerajaan?
Sudah tentu hajat itu tidak mudah tertunai. Ini kerana yang pasti
‘dendam’ ahli setia PAS terhadap rancangan mereka menggerakkan kempen
memusnahkan PAS melalui strategi memperlekeh ulama, payah padam.
Bukan sukar bagi ahli PAS menguji kesahihan dan keikhlasan golongan
“pengkhianat” ini. Setiausaha penaja G-18, Dr Dzulkifley Ahmad
mengumumkan minggu lalu bahawa G-18 tidak akan ‘bertelagah dan
menjatuhkan PAS’.
Bagaimanapun tindak tanduk ‘cai” lain dalam G-18 seperti Dr Hatta Ramli
dan Khalid Samad, adalah amat bertentangan sama sekali dan ini langsung
mencemar darjah keikhlasan mereka berjuang.
Belumpun
tertubuh parti politik baru yang didakwa bersifat lebih inklusif untuk
rakyat Malaysia, Dr Hatta sudahpun “membelasah dan meremehkan pimpinan
PAS” sendiri.
“Kami (G18) yakin bahawa PAS, maksudnya pemimpinnya, sudah sampai satu
tahap di mana pendirian dan gelagat mereka tidak mewakili sebuah parti
politik Islam yang sejati.
“Pada masa tertentu PAS kelihatan ‘mengaibkan’ Islam di mata khalayak,
tidak kira pada muslim atau bukan,” kata Hatta kepada sebuah portal
pro-pembangkang.
Beliau berkata, isu ini sudah ditegur di kalangan pemimpin parti tetapi ia tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Malah sebaliknya, suara yang bertentangan dan kurang senang pada
pimpinan ini dianggap sebagai menentang ulama,” kata bekas Pengarah
Pilihanraya PAS itu.
Ahli G18 yang juga Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad memberi contoh
bagaimana “sikap tegar” pimpinan PAS meletakkan calon bertanding
merebut kerusi Kot Damansara dalam pilihanraya umum lalu, memalukan
Islam.
Khalid berkata, kerusi berkenaan diperuntukkan bagi Pengerusi Parti
Sosialis Malaysia, Dr Nasir Hashim yang menggunakan logo PKR, tetapi PAS
telah ‘kacau daun’ dengan meletakkan calonnya. Akibatnya, BN menang di
situ.
“Nasir telah menjadi Adun di situ selama lima tahun tetapi tiada
rungutan akan kepimpinannya. Alasan yang diberi PAS hanyalah kerana
beliau mewakili parti berfahaman sosialis,” kata Khalid.
Selain itu, katanya, PAS telah mengaibkan Islam apabila cuba mengganggu majlis yang diadakan khusus untuk orang bukan Islam.
“Bila ada bukan Islam menganjurkan majlis khusus untuk mereka sendiri
seperti Oktoberfest, PAS cuba menghalangnya. Ini memalukan kerana PAS
tidak hormati hak orang bukan Islam.
“Tak
apalah dihalang jika Oktoberfest diadakan di Makkah, Madinah atau Arab
Saudi tapi di sini keadaannya amat berbeza,” katanya.
Beliau berkata, apa PAS patut lakukan ialah memastikan tidak ada orang
Islam dijemput menghadiri majlis seperti itu dan ia tidak dianjurkan di
kawasan di mana ada ramai orang Islam.
Khalid juga berkata bahawa parti baru yang hendak ditubuhkan itu akan
dibuka pada ahli bukan Islam tetapi berkongsi hasrat parti Islam itu
menentang rasuah dan menegakkan keadilan.
“Kehadiran kami bukan mahu bertelagah tetapi mahu mengemukakan imej
alternatif sebuah parti politik Islam yang demokratik dan inklusif,”
katanya.
Jika demikianlah citarasa parti G18 ini maka apa bezanya ia dengan
Parti Keadilan Rakyat (PKR)? Tidakkah parti keluarga Anwar Ibrahim ini
berasa terancam dengan G18 yang beria-ia mahu menolak PAS dari Pakatan
Rakyat?
Sayugia diingat bahawa DAP juga mengaku sebuah parti berbilang kaum dan
kini sibuk merekrut ahli baru dari keturunan Melayu khususnya. Soalnya,
siapakah yang G18 hendak nyahkan dari Pakatan Rakyat – PKR atau DAP?
Benarkah G18 ini perkumpulan pejuang Islam yang demokratik atau
gerombolan pemimpin kecewa kerana tidak dipilih dan kini mahu melampias
kekecewaan dengan juga memusnahkan partinya sendiri?
Kini mereka terhegeh-hegeh mahu bertemankan PKR dan DAP tanpa menyedari
bahawa mereka akan menjadi “ancaman baru” pada keharmonian dalam
Pakatan 2.0.Selamat berjuang dan syok sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.