shahbudindotcom
Apabila
Tun Mahathir Mohamad menyebut ada pemimpin lain yang lebih layak
menjadi Perdana Menteri menggantikan Najib Razak, tujuannya tentulah
agar Muhyiddin Yassin segera menyatakan pendiriannya.
Ia
seolah-olah "ingatan awal" kepada Timbalan Perdana Menteri itu agar
tidak terlalu lama dalam membuat keputusan iaitu sama ada mahu bersama
dengan gerakan perubahan yang sedang dilakukannya atau kekal bersama
Najib.
Ia
juga memberi gambaran, jika Muhyiddin terus berlengah-lengah dan
bermain dengan masa, tidak mustahil Tun Mahathir akan menonjolkan pula
tokoh lain yang tidak disebut namanya itu.
Bagaimanapun,
melalui pemerhatian dari pelbagai kelompok dalam UMNO, tokoh lain yang
disebut oleh Tun Mahathir sebagai lebih layak menggantikan Najib itu
tidak lain ialah Tengku Razaleigh Hamzah.
Terutama
untuk berhadapan dengan kegetiran untuk mengekalkan kuasa UMNO dan BN
dalam pilihanraya akan datang, tidak dinafikan Ku Li paling ke hadapan
untuk tugas tersebut kerana beliau diyakini boleh diterima oleh pelbagai
lapisan masyarakat negara ini.
Satu-satunya
yang mengekang Ku Li ialah beliau tidak berada dalam hireaki kepimpinan
tertinggi UMNO. Jawatannya hanyalah Ketua UMNO Bahagian dan Ahli
Parlimen Gua Musang, Kelantan.
Bercakap
di Pulau Pinang semalam, bekas Perdana Menteri itu berkata, selain
Muhyiddin, ada juga pemimpin lain yang lebih layak menggantikan Najib.
Bagaimanapun katanya, mengikut tradisi UMNO, lebih baik jawatan itu diambil alih oleh pemimpin nombor dua negara.
Sekali
lagi, dalam usaha menyelamatkan UMNO dan BN serta memastikan ia kekal
berkuasa, Tun Mahathir mahu tradisi UMNO terus dipatuhi. Lantaran itu,
nama Muhyiddin lebih diutamakan agar tidak berlaku sebarang konflik
dalam UMNO. Melakukan perubahan dengan mengenepikan hireaki bukan saja
mengundang konflik dan menimbulkan masalah tetapi juga tidak pernah
berlaku sebelum ini.
Dalam
hal ini, oleh kerana Tun Mahathir sudah beberapa kali menyebut nama
Muhyiddin, seharusnya Timbalan Perdana Menteri itu segera memahaminya.
Beberapa isu negara seperti 1MDB, Altantuya, GST, hutang negara dan
sebagainya, tidak lain hanya memerlukan perubahan kepimpinan untuk
menanganinya.
Mungkin
ketika ini Muhyiddin ingin menumpukan tugasnya kepada pilihanraya kecil
Rompin dan Permatang Pauh terlebih dahulu, tetapi selepas itu beliau
sebenarnya tidak ada alasan lagi untuk menangguhkan pendiriannya.
Memandangkan
pilihanraya umum akan datang hanya kira-kira tiga tahun saja lagi,
perubahan kepimpinan UMNO dan kerajaan tidak seharusnya dilewatkan lebih
lama lagi kerana ia mungkin menyebabkan kesuntukan masa untuk
berhadapan dengan rakyat.
Sebaik pilihanraya Permatang Pauh berakhir pada 7 Mei ini, Muhyiddin harus segera menyatakan pendiriannya - kekal bersama Najib atau berpihak kepada Tun Mahathir.
Di
ketika yang sama, oleh kerana isu getir sekarang ialah untuk memastikan
pengekalan kuasa BN sebagai kerajaan, Tun Mahathir juga seharusnya
memikirkan jalan untuk menggandingkan Muhyiddin dengan Ku Li untuk
membentuk suatu pasukan yang lebih mantap demi kepentingan negara.
Mungkin
gandingannya ialah Muhyiddin - Ku Li atau Ku Li - Muhyiddin. Mungkin
juga boleh diwujudkan sistem penggiliran antara keduanya sebagaimana
yang pernah diwujudkan di Sabah suatu ketika dahulu.
Kedua-dua
mereka, Muhyiddin dan Ku Li, tentunya harus lebih bertolak ansur dari
segi jawatan dan kedudukan kerana yang utama ialah kemenangan dalam
pilihanraya dan menyelamatkan negara.
Tun
Mahathir barangkali boleh memikirkan bentuk gandingan yang sesuai
antara kedua-dua pemimpin tersebut kerana yang penting ketika ini,
selain menyelamatkan negara dan memastikan kemenangan dalam pilihanraya,
Najib harus ditekan dan dipaksa berundur terlebih dahulu.
Inisiatif
ini, jika dapat diusahakan oleh Tun Mahathir, bukan saja menyebabkan
sokongan diterimanya lebih meluas, bahkan boleh membuatkan Najib menarik
balik madah Bugisnya yang enggan menyerah kalah sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.