Jumaat, 1 Mei 2015

Rakyat Malaysia di Nepal diminta hubungi kedutaan

SINAR HARIAN

Hamzah Zainuddin Hamzah
 
 
 
ALOR SETAR - Pihak yang anggota keluarga mereka masih berada di Nepal diminta agar memaklumkan kepada anggota keluarga mereka itu supaya mendaftar diri dengan Wisma Putra atau kedutaan Malaysia di Nepal bagi memudahkan proses penghantaran balik mereka ke tanah air.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, pada masa ini pihaknya belum dapat mengenal pasti jumlah sebenar rakyat Malaysia yang berada di Nepal, memandangkan kebanyakan mereka yang pergi ke negara itu tidak mendaftar atau memberitahu Kementerian Luar atau pihak kedutaan Malaysia di sana.

"Ramai rakyat Malaysia yang pergi Nepal tidak daftar dengan Kementerian Luar atau kedutaan. Jadi kita minta ahli keluarga yang tahu ada keluarga mereka yang pergi ke Nepal meminta agar mereka mendaftar dengan Wisma Putra atau pergi terus ke wakil kita di Kathmandu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nepal dilanda gempa bumi paling teruk dalam tempoh 81 tahun yang setakat ini dilapor mengorbankan 4,200 nyawa dan lebih 7,000 kecederaan.

Setakat ini seramai 368 rakyat Malaysia sudah dibawa balik.

Hamzah berkata disebabkan perhubungan komunikasi yang buruk, ia menyukarkan proses mencari dan membantu rakyat Malaysia. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.