Di sebalik kekuatan yang memihak kepada BN, PRK kali ini diadakan ketika parti komponen utamanya UMNO sedang berkocak.
PETALING JAYA: Jika dianalisis di atas kertas, Barisan Nasional (BN) mempunyai harapan yang amat cerah untu mengekalkan kerusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK)Rompin.
Banyak faktor yang dikatakan menyumbang ke arah kemenangan itu.
Majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu dengan kelebihan 15,114 undi yang dimenangi Allahyarham Jamaluddin Jarjis, pengaruh calon BN, Hasan Ariffin yang dianggap orang lama dan sebelum ini pernah menjadi Adun, Exco dan Timbala Menteri Besar Pahang, menjadi laluan sukar kepada calon Pas, Nazri Ahmad untuk menang.
Di sebalik kekuatan yang memihak kepada BN, PRK kali ini diadakan ketika parti komponen utamanya UMNO sedang berkocak berikutan serangan dan kritikan bertali arus daripada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pelbagai isu yang sudah sekian lama melingkari kepimpinan presiden parti serta penolakan yang kian ketara di mana-mana, Tun Mahathir dengan tegas mahukan Perdana Menteri ditukar untuk menyelamatkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang.
“Ditambah dengan isu GST yang semakin hari semakin membengkak dalam hati rakyat, penolakan terhadap BN semakin jelas jadinya. Isunya bukan sangat kerana rakyat menolak sistem cukai baru itu, tetapi lebih disebabkan kegagalan kerajaan menangani isu-isu remeh di sebalik perlaksanaannya”, tulis Shahbudin Husin.
Melalui laman blognya, shahbudindotcom.blogspot.com bekas Ketua Bahagian UMNO Setiawangsa mengupas ketidak puasan yang membelenggu rakyat di negara ini.
Katanya, momokan kerajaan terhadap kebaikan Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di mana harga barang akan turun adalah palsu belaka.
“Lebih dari itu, yang paling menyenakkan perut rakyat ialah kegagalan kerajaan sehingga kini menyelesaikan isu 30 sen dan 60 sen cukai GST pada kad prabayar telefon yang menjadi kegunaan utama golongan muda, suri rumah dan mereka yang berpendapatan rendah. Ia memperlihatkan kerajaan amat lemah dan tiada lagi kekuatan”, katanya.
Justeru, PRK Rompin pada 5 Mei dilihat mempunyai nilai yang tersendiri . Apakah suhu politik nasional yang tidak menentu dan rasa ketidak puasan terhadap dasar baru mempengaruhi pengundi di kawasan itu? Sama-sama kita tunggu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.