MALAYSIAKINI
Sebanyak 2,584 daripada 3,923 kes atau 66 peratus penyakit malaria di
negara ini pada tahun lepas, dikesan berpunca daripada monyet (zoonotik)
dengan membabitkan paling banyak pesakit di Sabah, Sarawak dan
Kelantan.
Ketua Sektor Penyakit Berjangkit Bawaan Vektor Kementerian Kesihatan Dr
Rosenani Mudin berkata 730 kes atau 19 peratus jangkitan malaria
berpunca daripada pekerja asing di sektor perladangan.
Berdasarkan statistik, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini hingga
Mac lepas, 356 kes atau 67.6 peratus daripada 527 kes malaria dikesan
berpunca daripada monyet, katanya kepada pemberita selepas majlis
perasmian Hari Malaria Sedunia 2015 Peringkat Kebangsaan di Hospital Gua
Musang (HGM) di Gua Musang semalam.
ADUN Galas Ab Aziz Yusof merasmikan majlis itu yang turut dihadiri
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad
Mahir.
Dr Rosenani menjelaskan wabak malaria itu berlaku apabila nyamuk tiruk
yang menggigit monyet mempunyai malaria, dan nyamuk yang sama
kemudiannya menggigit manusia.
Beliau berkata secara keseluruhan kes malaria di negara ini menurun
secara mendadak berikutan pelbagai usaha dan langkah susulan pihak
kementerian itu dengan melakukan pemantauan dan kawalan.
Katanya berdasarkan rekod kes malaria pada 1990-an, lebih 50,000 kes
dicatatkan di seluruh negara dan jumlah itu turun mendadak sehingga
3,923 kes
pada tahun lepas dan dijangka terus menurun pada tahun ini, dengan
kerjasama pelbagai pihak untuk mencegah penularan wabak tersebut.
"Kes kematian akibat malaria juga turun dengan seorang kematian dalam
tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas
yang mencatat dua kematian," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.