Jumaat, 29 Mei 2015

Ketiadaan Anwar bermakna PR hilang ‘orang tengah’

Tian Chua Tian Chua
 
 
KUALA LUMPUR - Ketiadaan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan konflik dalaman PR membabitkan Pas dan DAP terus berlarutan.
 
Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, Anwar dianggap sebagai orang tengah dalam menyelesaikan apa juga masalah yang wujud dalam PR.
 
“Anwar sebagai penghubung dan menyeimbangkan salah faham dalam PR. Ketiadaan Anwar bermakna PR kehilangan ‘orang tengah’ yang sangat aktif.
 
“Namun, saya yakin pengganti Anwar sebagai Ketua Pembangkang yang baru dilantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mampu memainkan peranan untuk terus memimpin PR,” katanya.
Menurut Tian Chua, kehadiran Dr Wan Azizah dapat membantu mendamaikan salah faham yang berlaku antara segelintir pemimpin dalam PR.
 
“Bagaimanapun setiap parti dan individu harus memainkan peranan bagi meminimumkan salah faham dalam PR,” katanya.
 
Pada masa sama, Tian Chua turut menafikan wujudnya kemelut dalam PR, sebaliknya ia hanya melibatkan salah faham antara sebilangan pemimpin.
 
“PR tidak mengalami krisis seperti dilaporkan media. Sebagai penggerak politik kita harus tunduk kepada kehendak dan tuntutan rakyat.
 
“Rakyat mahukan sistem politik yang seimbang dan persaingan yang sihat dalam kalangan barisan parti palitik di negara ini. Rakyat mengharapkan kedua barisan politik (pembangkang dan kerajaan)  dapat menunjukkan kewibawaan dan membahaskan isu yang memberi manfaat kepada rakyat,”katanya.
 
Katanya, PKR sangat menghargai komitmen Pas untuk terus kekal dalam PR dan perpaduan dalam kalangan parti tidak akan terjejas.
 
“Semua parti politik  tiada pilihan. PR harus kekal dan diperkasakan. Barisan baru yang bakal dibentuk dalam pemilihan Pas pada muktamar nanti diharap akan terus komited bersama PR," katanya.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.