Rabu, 27 Mei 2015

DAP: Najib perlu perjelas sudah 'kantoi' atau tak



MALAYSIAKINI
Parlimen digesa gantung perbahasan berkaitan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) segera dan memberi laluan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan peranannya dalam kontroversi berkaitan 1MDB.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang membuat gesaan itu susulan laporan bahawa kelulusan perdana menteri diperlukan untuk sebarang komitmen kewangan pelopor 1MDB, Terengganu Investment Authority (TIA), dan sama ada peraturan itu masih terpakai.

Lim berkata jika perkara itu benar Najib ternyata berpura-pura di Parlimen dan kepada orang awam dengan berkata beliau tidak bertanggungjawab terhadap operasi harian 1MDB dan hanya mempengerusikan lembaga penasihat syarikat itu.

“Ini mungkin kali pertama dalam sejarah negara apabila perdana menteri 'kantoi' berpura-pura besar,” katanya.

Dalam kenyataannya hari ini Lim berkata perkara itu seperti undi tidak percaya di Parlimen sama ada beliau patut kekal sebagai perdana menteri.

Persoalan berhubung bidang kuasa Najib timbul selepasMalaysiakini melaporkan bahawa Memorandum dan Tata Urusan Syarikat (M&A) bertarikh 2 September 2009, menyebut kelulusan bertulis perdana menteri diperlukan untuk sebarang komitmen kewangan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Ini termasuk urusan pelaburan, penstrukturan semula atau sebarang keputusan berkaitan dasar kerajaan pusat.

Jika itu keadaannya, bermakna banyak perjanjian kontroversi 1MDB yang kini diperkatakan ramai mungkin dijalankan dengan keizinan perdana menteri.

Apa yang jelas, Najib berkuasa penuh ke atas agensi berkenaan ketika ia masih dikenali sebagai TIA.

Peruntukan 117 dalam memorandum itu juga menyatakan, kelulusan bertulis perdana menteri diperlukan untuk meminda sebarang butiran dalam M&A serta pelantikan pengarah syarikat dan ahli pengurusan kanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.