KUALA LUMPUR: Dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa 'hati'
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini tidak lagi bersama
Pakatan Rakyat, sebaliknya beralih pada Umno Barisan Nasional (BN)
adalah fitnah yang tidak bermoral.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi berkata dakwaan itu terbit daripada salah faham terhadap Hadi.
Ujarnya sebagai ulama yang konsisten menjalankan usaha dakwah, Ahli
Parlimen Marang itu perlu bertemu dengan banyak pihak termasuk pemimpin
Umno BN, semata-mata untuk tujuan itu.
"Itu adalah satu fitnah yang sangat tidak bermoral, tidak wajar.
"Mungkin mereka salah faham dari sudut penampilan presiden sebagai
ulama dan pendakwah yang menyampaikan risalah semua pihak jadi, kita
kena bertemu dengan semua pihak dan saya kira pemimpin DAP juga pernah
mengadakan pertemuan dengan PM, Umno-BN," tegasnya ketika ditemui
Antarapos baru-baru ini.
Malah, Nasrudin berkata pimpinan tertinggi DAP dan PKR juga sebelum ini
pernah mengadakan pertemuan dengan Umno-Barisan Nasional atas dasar
kepentingan politik.
"Kit Siang juga semasa 'Selamatkan Malaysia', PKR dengan konsensus nasional juga membuat hubungan tertentu dengan pihak BN.
"Jadi, itu politik untuk mencari kepentingan bersama terutamanya untuk rakyat dan masyarakat," ujarnya.
Justeru, beliau berkata tidak sewajarnya perkara tersebut dieksploitasi
kerana ia hanya akan memberi kesan buruk kepada parti dominasi Cina itu
sahaja.
"Jadi, saya kira itu tidak perlu disalah erti dan dieksploitasi
kononnya menunjukkan bahawa Hadi ingin menyertai Umno dan itu adalah
fitnah.
"Sepatutnya mereka tidak keluarkan kenyataan sebegitu kerana dia (kesan
negatif) akan balik semula kepada DAP sendiri dan saya yakin tekanan
itu tidak akan menjejaskan apa-apa," katanya.
Tambah Nasrudin lagi, PAS tetap konsisten dalam apa jua yang partinya
lakukan lebih-lebih lagi mengenai perjuangkan terhadap Islam.
"Sebab sejak isu ini ditimbulkan dan di ulang setiap kali ucapan mereka
kononya Presiden PAS mesra Umno, suka saya tegaskan sejak isu ini
berbangkit yang saya tengok mereka yang keluar parti menyertai Umno
bukan dari PAS tetapi sebahagiannya dari parti kompenan PR yang lain.
"PAS tetap konsisten walaupun kita tak nafikan sejarah-sejarah dulu ada
yang keluar parti tetapi sehingga hari ini kita konsisten dan presiden
dari awal melibatkan diri dengan PAS dan sehingga hari ini beliau tidak
pernah keluar parti atau melakukan sesuatu menjejaskan nama baik parti
yang memperjuangkan Islam," tambahnya.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebelum ini berkata Hadi sudah tawar hati untuk bersama Pakatan Rakyat.
Malah Guan Eng menuduh Hadi sebagai cenderung pada Umno BN berbanding
memberikan sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail
dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh baru-baru ini.
Hadi dalam reaksi balasnya berkata 'DAP tidak tahu apa yang ada dalam
hatinya', namun enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan Guan Eng itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.