Ahad, 3 Mei 2015

'Bagaimana rumah generasi baru di Felda lain?'

MALAYSIAKINI


 


PAS mendesak supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak peka dan mengambil berat masalah rumah bagi semua generasi kedua (G2) dan ketiga (G3) di Felda seluruh negara berbanding hanya menumpukan di Rompin sahaja.

Naib Presidennnya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut berkata PAS kesal dengan keputusan kerajaan menyediakan rumah pada harga lebih murah kepada warga generasi baru di Felda di Rompin berbanding kawasan Felda lain.

"Ia seolah-olah seperti kenyataan pegawai Felda Wilayah sahaja kerana hanya nampak masalah di Rompin, sedangkan isu ini dibangkitkan oleh seluruh warga G2 dan G3 Felda seluruh negara.

"Sebagai PM, PAS menyeru Najib agar bertindak sebagai PM bagi seluruh negara. Jangan hanya kerana nak selamatkan kedudukan dan undi di Rompin, lalu kita isytihar pelbagai habuan hanya bagi kawasan PRK (pilihan raya kecil) sahaja," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim menyeru semua warga generasi kedua dan ketiga Felda mendesak supaya hak mereka, kemudahan dan harga yang sama diberi kepada generasi itu di Felda lain seluruh negara.

Tuan Ibrahim mengulas keputusan kerajaan menawarkan harga RM90,000 untuk pembelian rumah secara jual-beli kepada generasi baru FELDA yang tidak berkemampuan di Parlimen Rompin, berbanding harga asal RM125,000 yang ditawarkan sebelum ini.
  
Semalam Najib dilapor berkata kerajaan akan menyediakan skim sewa beli di mana mereka dapat menduduki rumah itu selama lima tahun secara sewaan sekaligus membuktikan kerajaan peka dan mengambil berat mengenai pemilikan rumah mampu milik di FELDA.
  
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata tindakan kerajaan memberikan harga lebih murah dan mekanisma lebih baik kepada warga generasi kedua Felda di Rompin menggambarkan sememangnya warga Felda terabai selama ini.

"Kalau bukan kerana adanya pilihan raya kecil Rompin, G2 dan G3 Felda di Rompin akan terus terabai. Ini membuktikan PAS membuat keputusan yang tepat untuk bertanding di Rompin kali ini.

"Rungutan harga rumah yang mahal dan mekanisma yang tidak membantu G2 and G3 memiliki rumah merupakan agenda utama dalam setiap dialog dengan warga Felda.

"Hakikatnya, harga rumah antara RM120,000 hingga RM140,000 seunit itu adalah di luar kemampuan golongan muda Felda di seluruh negara.," katanya. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.