SHAH ALAM – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat sebagai
penentu masa depan Pas dalam pakatan pembangkang jika beliau kembali
dipilih perwakilan Pas untuk memimpin parti itu dalam Muktamar Pas ke-61
akan datang.
Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak
(Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, kedegilan Pas berpegang pada pendirian
sekarang hanya akan menjadi penghalang utama usaha meleraikan kemelut
dalaman PR itu.
“Sekarang bola berada di kaki Haji Hadi. Ketentuannya banyak bergantung
bagaimana Pas memberi tindak balas...selagi Pas di bawah kepimpinan
Hadi berpendirian seperti sekarang dan tidak mahu berganjak atau berolak
ansur, ini akan menjadi batu penghalang utama dalam usaha untuk
meleraikan kemelut politik dan ketegangan yang wujud dalam kalangan PR.
“Tapi saya fikir, kalau PR mahu dilihat sebagai satu pakatan yang boleh
digantung harap oleh rakyat Malaysia, mereka tidak ada pilihan kecuali
harus menyelesaikan masalah kerenggangan dan ketegangan sekarang. Kalau
tidak ini akan beri kesan besar, bukan sahaja dari segi persepsi rakyat
tetapi akan beri kesan dari segi kerjasama dan seterusnya prestasi
mereka dalam pilihan raya akan datang,” katanya kepada Sinar Online.
Menurutnya, pakatan pembangkang yang diperlukan adalah satu pakatan
yang padu dan mempunyai komitmen untuk merealisasikan apa yang telah
dipersetujui dalam Buku Jingga.
“Ini adalah waktu mereka untuk menjalinkan kerjasama, selesaikan
masalah yang ada dan bergerak ke hadapan ketika BN berdepan dengan
pelbagai kemelut dan isu.
“Wan Azizah (Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail)
boleh saja mengambil inisiatif untuk membawa mereka ke meja rundingan.
Masalah sekarang adalah hubungan DAP-PKR-Pas. antara PKR-DAP tidak ada
masalah...ada semacam keserasian dan pengertian kerana mereka sedar
untuk bergerak ke Putrajaya, PR tanpa Pas juga bermasalah.
“Pas tanpa dua lagi parti komponen itu juga bermasalah. Jadi, kalau
betul-betul mereka menyimpan impian untuk melangkah ke Putrajaya entiti
ketiga-tiga parti politik itu tidak dapat dipisahkan. Kalau tidak, ini
hanya akan menjadi impian kosong sahaja,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau akui jika keputusan memutuskan hubungan
kerjasama itu diambil Pas, ia akan sukar untuk ditautkan kembali pada
masa depan.
“Nasib hubungan kerjasama itu bergantung pada siapa yang akan menang
dalam pemilihan. Sama ada yang pro-ulama atau pro-liberal. Jadi, kalau
betul-betul majoriti itu dimenangi oleh ulama, ini memberi isyarat besar
kepada hubungan PR.
“Kalau nak putuskan hubungan itu, satu tindakan yang drastik, yang
memberi kesan berpanjangan dan mendalam terhadap hubungan mereka
seterusnya kesan dalam pilihan raya akan datang serta politik Malaysia
pada masa depan. Untuk menjalinkan kembali hubungan yang telah putus,
itu bukan suatu yang mudah nanti.
“Barangkali sebelum keputusan itu diambil, amat penting bagi pimpinan
tertinggi Pas untuk duduk semula berbincang secara mendalam, apakah ini
suatu tindakan yang wajar diambil atau mengambil jalan penyelesaian
lain,” katanya.
Sementara, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej
Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara
Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat,
kemungkinan besar jika Abdul Hadi menang dalam pemilihan nanti, beliau
akan mengumumkan sesuatu bagi penentu masa depan dan hala tuju parti itu
dalam PR.
“Sekarang nampak hubungan mereka semakin tak erat. Jika beliau (Abdul
Hadi) menang tapi di bawah-bawahnya masih lagi golongan yang ‘moderate’,
mungkin beliau akan ambil keputusan yang berbalik semula kepada PR.
Kemungkinan besar Pas akan kekal dalam PR.
“Tapi kalau golongan ulama konservatif pun ada banyak dalam kepimpinan,
saya tak pasti sama ada mereka akan keluar juga sebab setahu saya Pas
tidak mahu keluar, mereka mahu DAP yang keluar dengan PKR.
"Jadi, kalau itu berlaku, kemungkinan DAP dan PKR keluar dan bentuk
pakatan lain tapi Pas tidak termasuk dalam pakatan itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.