Jumaat, 24 April 2015

Terengganu buka pusat sekretariat GST


Datuk Ahmad Razif Abd Rahman
 
 
 
KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI]  Kerajaan negeri telah membuka pusat sekretariat yang berpusat di Wisma Darul Iman, bagi memantau pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), dan mendapatkan maklum balas serta aduan daripada pengguna.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sekretariat ini juga memantau harga barangan di pasaran agar tidak dimanipulasi peniaga, selain memberi maklumat mengenai harga barangan di pasaran.

Menurutnya, itu antara kaedah yang digunakan untuk membantu rakyat, selain memberi pemahaman kepada rakyat mengenai barang yang dikenakan GST dan tidak dikenakan GST.

“Apa yang berlaku sekarang ini peniaga yang memanipulasi pengguna kerana ada pengguna yang masih belum faham sebenarnya. Sebab itu ada peniaga yang ambil kesempatan.

“Kadang-kadang kita tengok peniaga sendiri pun tak faham, ada yang tidak turunkan harga, ada pula yang tambah enam peratus sedangkan dia tidak layak. Jadi mereka perlu maklumat sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Pengetua dan Guru Besar Sekolah-sekolah Negeri Terengganu 2015 di Wisma Darul Iman.
 
Jelas Ahmad Razif, kerajaan negeri juga sedang melihat cadangan atau keperluan untuk mewujudkan kiosk bergerak sebagaimana yang dilaksanakan di Perak.

Sekiranya melihat ia perlu dilaksanakan, kerajaan negeri akan membuka kiosk bergerak dan turun ke daerah, terutamanya di kawasan di luar bandar memberi penerangan serta membantu rakyat agar mereka dapat membeli barangan dengan harga yang betul.

“Mungkin juga kita akan beri subsidi, iaitu bekerjasama dengan Mydin yang akan bertindak sebagai pembekal dan kita akan gunakan van atau lori turun ke daerah. Ini kita belum muktamadkan lagi, ia akan diputuskan selepas Pilihan Raya Kecil Rompin.

“Kita bimbang kalau kita ambil tindakan sebegitu, nanti akan beri kesan kepada peniaga sebab bila kerajaan negeri menggunakan kiosk bergerak ini, nanti orang tidak beli dah di kedai.

“Selepas ini, kalau nampak peniaga masih lagi memanipulasikan pembeli, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak melaksanakan program sebagaimana yang kerajaan Perak lakukan iaitu kerajaan negeri ambil alih jadi penjual,” katanya.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.