MALAYSIAKINI
BN akan kalah sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus
memimpin parti itu sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-14, kata mantan
perdana menteri Tun Mahathir Mohamed.
“Sesungguhnya
rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah
tidak percaya lagi kepada Datuk Seri Najib.
“Ahli Umno dan pemimpinnya perlu sedar bahawa Umno dan dengan itu BN
akan kalah jika Datuk Seri Najib memimpin Umno hingga PRU 14,” tulis
Mahathir (kiri) di blognya hari ini.
Katanya lagi apabila Umno kalah, kepimpinan parti itu akan dikutuk dan
ditolak oleh bangsa Melayu dan ia tidak akan dapat dipulihkan semula.
Ini bukan kali pertama Mahathir memberi amaran keras itu.
Pada 13 Mac lalu, perdana menteri 22 tahun itu meramalkan kontroversi
sekitar isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan menjadi punca
kekalahan BN dalam pilihan raya depan.
Menulis dalam blognya hari ini, Mahathir berkata pemberian wang percuma
menimbul kemarahan orang Melayu dengan “mengenepikan Dasar Ekonomi Baru
kerana ingin mendapat sokongan orang Cina”.
Dalam masa sama, katanya, orang Cina juga menolak pemerintahan Najib seperti tergambar dalam pilihan raya umum ke-13 lalu.
'Jet Datuk Seri, Datin Seri'
Walaupun dalam blognya sebelum ini Mahathir telah melontarkan kritikan
keras tentang isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), beliau terus berbuat
demikian dalam tulisannya hari ini.
“Dan banyaklah lagi tuduhan dan soalan terhadap 1MDB yang ditubuh oleh
Datuk Sri Najib dan dikuasai sepenuh olehnya sebagai penasihat yang
tidak dijelas dan dijawab selain dari menafi dan mendakwa semuanya
bohong belaka,” katanya.
Malah, katanya, laporan akhbar antarabangsa berhubung perkara itu “amat memalukan negara”.
Sementara itu, Mahathir juga mengkritik pembelian sebuah lagi jet rasmi
perdana menteri ACJ319, yang didakwa pembangkang bernilai RM465 juta,
untuk kegunaan “Datuk Seri dan Datin Seri”.
“Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, dalam keadaan rakyat terpaksa
bayar cukai yang lebih tinggi, dalam keadaan nilai ringgit yang menurun
teruk, dalam keadaan kos sara hidup meningkat dan rakyat dilanda banjir
dan kehilangan ratusan juta ringgit, kerajaan membazirkan wang ratusan
juta untuk pesawat mewah walaupun sudah ada pesawat-pesawat milik
kerajaan,” katanya.
Terus mengasak Najib, Mahathir hari ini turut membangkitkan berhubung
persoalan siapa yang mengarahkan pembunuhan warganegara Mongolia
Altantuya Shaariibuu.
Langkah itu memperlihatkan bahawa Mahathir bersedia pergi lebih jauh
dengan mempergiatkan lagi tekanan terhadap pentadbiran Najib yang sedia
terhimpit dengan pelbagai isu.
Ini termasuklah isu kekayaan keluarganya, perbelanjaan kerajaan serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Lebih malang, serangan itu dilontarkan menjelang ulang tahun enam pentadbiran Najib sebagai perdana menteri esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.