Khamis, 23 April 2015

Media Indonesia: Silakan jelas Pak Duta

MALAYSIAKINI


 


Majalah berpengaruh Indonesia Tempo mempertahankan laporannya berhubung dakwaan gaya hidup mewah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

Pengarang kanannya Purwanto Setiadi memberitahu Malaysiakini mereka percaya pada sumber pemberitaan itu yang telah dipilih secara cermat.

“Seperti sebelumnya, kami akan memilih sumber (berita) dengan secermat mungkin.

“Sehingga kini kami percaya dengan sumber-sumber yang kami gunakan,” katanya ketika menjawab soalan Malaysiakini.

Purwanto diminta mengulas laporan bahawa Duta Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang akan bertemu secepat mungkin dengan Tempo susulan laporan itu.

Zahrain berkata fakta dalam artikel yang dikeluarkan itu tidak benar.

Purwanto, pengarang laporan antarabangsa Tempo,  juga berkata pihaknya juga memasukkan versi Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung perkara itu.

“Meski demikian, jika Pak Duta Besar punya versi lain, dengan terbuka kami akan terima,” katanya.

Sebelum ini, Tempo melaporkan mengenai dakwaan kehidupan mewah Najib dan Rosmah dalam laporan khas sempena ulang tahun ke-60 Persidangan Asia Afrika yang akan dihadiri Najib, hari ini.

Tempo antara lain memetik The New York Times, yang menyebut mengenai minat Rosmah pada beg tangan mewah dan barang kemas.

Dalam laporan semuka penuh itu, majalah itu turut mendedahkan kegemaran Najib dan Rosmah pada jam tangan mewah, seperti dakwaan dibuat NGO pemantau jenayah Malaysia, MyWatch.

Turut dibangkitkan berkaitan dakwaan harga dandanan rambut untuk perkhidmatan rumah ke rumah ditawarkan pada Rosmah serta dakwaan pembelian pangsapuri mewah di Amerika Syarikat oleh anak tiri Najib. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.