Khamis, 2 April 2015

Harga tuala wanita tetap naik

MALAYSIAKINI


 


MP DAP berkata, kerajaan tidak menepati janji kerana mendakwa harga jualan tuala wanita akan turun apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan.

MP Kulai, Teo Ni Ching berkata, kebanyakan peruncit kini menaikkan harga bahan keperluan tersebut sejak GST berkuatkuasa semalam.

"Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ketika ucapan penggulungan usul menjunjung kasih ucapan Yang di-Pertuan Agong pada 25 Mac berkata harga tuala wanita akan turun apabila GST berkuatkuasa,” kata Teo.

Dalam sidang media di bangunan parlimen hari ini, beliau berkata Ahmad Husni menjelaskan bahawa tuala wanita dikenakan cukai jualan 10 peratus berbanding GST sebanyak enam peratus

Satu panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mendakwa harga tuala wanita akan turun sebanyak dua peratus bila GST dikuatkuasa.

Namun, semakan di pasar raya besar seperti Tesco semalam menunjukkan bahwa harga tersebut naik antara dua hingga enam peratus bagi empat jenama popular.

"Perbezaan itu menunjukkan harga bagi kebanyakan tuala wanita, jika tidak semua, meningkat dan tidak turun.

“Adakah ini satu lagi kesilapan oleh pedagang atau ia menunjukkan kata-kata menteri kita tidak lagi bernilai?,” soalnya.

Beliau juga menggesa orang ramai menandatangani satu petisyen dalam talian di laman change.org bertajuk "Stop taxing Malaysian women for their Periods! Period" bagi menggesa pengecualian GST ke atas tuala wanita.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.