Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) Negeri Sembilan berhak mengambil sikap berkecuali ke atas usul menjunjung kasih, titah ucapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan kerana teks tersebut disediakan kerajaan negeri yang ditadbir BN.
Ketua Pembangkang DUN Anthony Loke berkata, ADUN Pakatan Rakyat Negeri Sembilan tetap menjunjung titah tersebut dan berterima kasih kepada baginda Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang berkenan merasmikan Persidangan Pertama, Penggal Ketiga Dewan Undangabn Negeri Ke-13 di Seremban, semalam.
Namun, Anthony berkata laporan Utusan Malaysia pada muka hadapan hari ini bersifat memfitnah, apabila tajuk berita utamanya dilihat berniat jahat, sehingga boleh memesongkan pandangan pembaca terhadap ADUN Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan.
“Utusan Malaysia bankrap isu. Ini agenda jahat untuk timbulkan perasaan tidak puas hati terhadap pembangkang, khususnya DAP.
“Utusan Malaysia cuba menimbulkan persoalan dan memesongkan pemikiran masyarakat. Saya membidas akhbar Utusan Malaysia yang menggunakan tajuk utama, seolah-olah kita biadap,” kata Anthony pada sidang media di ib pejabat DAP hari ini.
Jelas Anthony, tindakan 13 ADUN pembangkang Negeri Sembilan tidak mengangkat tangan dalam menyatakan pendirian ke atas usul menjunjung kasih titah ucapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, adalah kerana teks tersebut disediakan kerajaan negeri yang ditadbir oleh BN.
“Saya nak betulkan (tafsiran) speaker (DUN Negeri Sembilan) yang katakan (kami) tidak hormat. Kita tidak pernah tidak hormat (usul menjunjung kasih). Dalam semua ucapan, kita menjunjung kasih.
“Speaker (pula) kata tak hormat Tuanku. Speaker (sebenarnya) tahu, hendak mengundi atau tidak, adalah hak masing-masing (ADUN), jelas Anthony.
Tambahnya, amalan di Parlimen Malaysia apabila ucapan menjunjung kasih dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong oleh Perdana Menteri, manakala di Negeri Sembilan, ucapan tersebut dipersembahkan oleh Menteri Besar.
“(Namun) bila berbahas titah Diraja, ia melambangkan dasar kerajaan negeri. Ada dasar diumumkan yang kita persetujui.
“Kita ambil pendirian (bahawa) kita tidak ambil bahagian (bahas). Itu yang dijadikan isu oleh Utusan Malaysia,” jelas Anthony.
Justeru itu kata Anthony, pihaknya kini, sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas laporan Utusan Malaysia yang bersifat memfitnah tersebut.
“Kita akan kaji tindakan undang-undang sekiranya ada unsur fitnah. Kita tak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia,” tegas Anthony. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.