shahbudindotcom
Bermula
dengan hutangnya yang tinggi, pelaburan yang diragui dan simpanan di
Pulau Cayman yang tidak pasti, 1MDB kini memasuki episod pendedahan
bagaimana wangnya didakwa dilarikan untuk kepentingan peribadi.
Selain
itu, bagaimana hutang 1MDB berjumlah RM2 bilion daripada dua bank
tempatan dikatakan turut dibayar oleh bilionaire terkemuka, Ananda
Krishnan dan cubaan pinjaman tambahan RM3 bilion daripada kerajaan juga
ditolak kabinet kerana ramai menteri tidak menyetujuinya,
menambah-parahkan lagi imej dan persepsi awam terhadap syarikat anak
emas Perdana Menteri itu.
Secara
langsung ia mengesahkan bahawa kecaman bekas Perdana Menteri, Mahathir
Mohamad mengenai syarikat itu ada benarnya. Ramai juga ketika ini yang
bersetuju dengan Mahathir bahawa "tiada 1MDB pun tak apa".
Walaupun
dalam banyak urusniaga, pelaburan dan kecurangan yang menjadi isu dalam
1MDB, nama Jho Low sering dikaitkan, tetapi kaitannya dengan Najib
tentu saja sukar dielakkan kerana ahli perniagaan playboy yang
mengamalkan gaya kehidupan rambu-ramba di Hollywood itu juga mempunyai
hubungan rapat dengan Riza Aziz, anak lelaki Rosmah Mansor.
Selain
Jho Low dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan isteri Perdana
Menteri melalui Riza, Najib sendiri dilaporkan beberapa kali bertemu
dengannya di luar negara, termasuk ketika bercuti di Eropah tahun lalu.
Dengan
pendedahan terbaru yang semakin menyentap hati rakyat berkaitan dakwaan
RM2.5 bilion wang 1MDB cuba dilarikan oleh Jho Low dalam urusniaga
dengan PetroSaudi beserta pelbagai bukti komunikasi yang disertakan,
tuntutan agar kebenaran diperjelaskan kepada umum, termasuk penubuhan
Suruhanjaya Diraja semakin kuat bergema sekarang ini.
Tetapi
apa yang menariknya ialah Pejabat Perdana Menteri dengan pantas telah
mengeluarkan kenyataan bahawa Najib tidak terlibat secara langsung dalam
operasi harian syarikat itu, sebaliknya ia diuruskan oleh satu kumpulan
profesional dan berpengalaman.
Juga disebut bahawa kedudukan Perdana Menteri hanyalah sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB saja.
Memahami
bahawa kecurigaan dan kecurangan dalam 1MDB selama ini melibatkan bukan
angka sekupang dua yang tentulah mustahil taraf "prebet" atau "koperal"
berupaya melakukannya, konsep pertanggungjawaban sebenarnya lebih
terpikul di bahu Najib selaku Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan
Pengerusi Lembaga Penasihatnya.
Bolehkah dipercayai pelaburan dan pengeluaran wang dalam jumlah yang besar boleh dilakukan tanpa pengetahuan Najib?
Mengelak
daripada memikul tanggungjawab dengan alasan tidak terlibat dalam
operasi harian tidak lebih merupakan alasan untuk "cuci tangan" saja
sedangkan jika 1MDB mencapai kejayaan dan kecemerlangan, sudah tentulah
semuanya akan diwar-warkan sebagai buah tangan dan hasil fikiran orang
yang yang terlibat dalam operasi harian tadi.
Ketika itu juga tentunya alasan tidak terlibat dalam operasi harian tadi tidak berbangkit sama-sekali.
Apakah
kenyataan tidak terlibat dalam operasi harian ini suatu bentuk
percubaan mengolah kepercayaan ramai bahawa Najib tidak terlibat dan
tidak wajar dipalitkan dengan apa juga kecurigaan dan kecurangan dalam
1MDB?
Adakah
ini juga bermakna "seekor kambing" sedang dicari untuk dilumurkan cat
hitam dan ditunjukkan kepada umum sebagai orang yang bersalah?
Kalau
Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB tidak harus dikaitkan
semata-mata kerana tidak terlibat dengan operasi hariannya, apakah
"kambing hitam" itu Lodin Wok Kamaruddin, Pengerusi 1MDB sekarang?
Mungkinkah
juga bekas CEOnya, Mohd Hazem Abdul Rahman atau penggantinya sekarang,
Arul Kanda Kandasamy sebagai "kambing pilihan kedua dan ketiga" untuk
ditumpahkan cat hitam itu?
Atau "kambing-kambing" lain sedang dicari untuk dimangsakan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.