Selasa, 31 Mac 2015

Polis galak tahan pembangkang, pemimpin UMNO-BN hasut perkauman terlepas

Lim_Guan_Eng

Roketkini.com



GEORGE TOWN: Polis lebih galak menangkap pemimpin pembangkang, aktivis dan wartawan, sementara pemimpin UMNO-BN yang terang-terangan mengapi-apikan perkauman dilepaskan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan mempersoalkan tindakan Ketua Polis Negara Tan Seri Khalid Abu Bakar dan pasukannya yang sehingga kini telah menangkap 159 orang semenjak Februari lalu.

Terbaru pimpinan editorial The Malaysian Insider termasuk Pengarang Urusan Lionel Morais, Pengarang Berita Bahasa Amin Shah Iskandar, Pengarang Analisis dan Rencana Zulkifli Sulong, penerbit The Edge Ho Kay Tat dan Ketua Eksekutif Jahabar Sadiq di bawah Akta Hasutan.

“Polis tangkap pimpinan pembangkang kerana pelbagai kesalahan. Namun, tidak ada tindakan yang diambil KPN terhadap Menteri Asas Tani Ismail Sabri yang menyeru orang Melayu boikot peniaga Cina.

“Sebelum Ismail, pembohongan dilakukan Timbalan Menteri UMNO Dr Mashitah Ibrahim dalam perhimpunan agung tahun lalu bahawa masyarakat Cina Kedah membakar Al-Quran untuk upacara ritual Cina, sedangkan ia sebenarnya dilakukan lelaki Melayu yang gila.

“Dalam perhimpunan yang sama Pengerusi UMNO Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Said buat tuduhan palsu mengaitkan kekuatan politik dan ekonomi orang Cina Pulau Pinang dari aktiviti perjudian haram, pelacuran dan hiburan.

“Kesemua mereka tidak pernah tarik balik atau memohon maaf atas tuduhan tak berasas itu,” tegas Guan Eng.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menyeru polis membebaskan kesemua wartawan The Malaysian Insider yang ditahan.

“Saya seru polis bebaskan kesemua mereka yang ditahan, termasuklah wartawan yang hanya melaporkan berita.

“Jika laporan tersebut salah, mereka boleh disaman kerana fitnah atau dihukum dengan denda.

“Untuk menangkap mereka di bawah tahanan reman adalah satu penganiayaan berlebihan.

“Di mana kebebasan akhbar apabila orang yang tulis berita negatif atau salah mengenai kerajaan BN diberi hukuman tak munasabah dan tidak perlu?” soal Guan Eng. – Roketkini.com


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.