DETIK DAILY
23 Mac lalu, seluruh rakyat di negara ini dikejutkan dengan dua lagi peristiwa besar. Awalnya, mereka dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang menjatuhi hukuman denda
RM5,000 dan 10 bulan penjara kepada 12 orang yang terlibat dalam tunjuk perasaan membantah pelantikan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Zambry Abdul Kadir selepas kerajaan Pakatan Rakyat dijatuhkan pada 2009.
Kesemua 12 penunjuk perasaan itu kemudiannya terus dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman.
Hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu dengan menolak keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi sebelum ini. Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman RM5,000 dan 2 tahun penjara sebelum ini manakala Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman denda RM5,000 tetapi tiada hukuman penjara di samping membebaskan 3 daripada mereka.
Antara mereka yang terbabit itu termasuklah mereka yang menjadi sumber rezeki sepenuhnya kepada keluarga mereka, manakala sebahagian yang lain termasuklah mereka yang masih mempunyai anak kecil di rumahnya.
Pada petang hari yang sama, pihak polis telah menahan 79 orang aktivis yang membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kelana Jaya. Penahanan tersebut kemudian membawa kepada penahanan reman sekitar lima hari ke atas 25 orang daripada mereka.
Antara mereka yang ditahan itu termasuklah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli; Pengerusi PSM, Mohd Nasir Hashim; Setiausaha Agung PSM, S Arutcelvan; Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Dewaraj dan Pengarah Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin.
Dua kejadian itu merupakan satu perkembangan terbaru yang sangat malang dalam sejarah demokrasi di negara ini yang sekali gus amat dikesali oleh pelbagai pihak.
Pada hal, para demonstran daripada Umno-BN yang melakukan kekacauan serta demonstrasi ke atas Kerajaan Selangor dan gangguan mereka ke atas sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang suatu ketika dulu, walaupun didakwa, akhirnya hanya dijatuhi hukuman dengan RM1,500 dan RM1,000 sahaja seorang.
Manakala mereka yang terbabit dalam membantah GST itu pula tidak sewajarnya ditahan dan dimasukkan ke dalam lokap serta direman. Kesemua mereka tidak pun melakukan kesalahan serius
Mereka hanya mahu mendapatkan penjelasan daripada pihak Kastam untuk mengemukakan 106 soalan berhubung GST. Ini pula sejajar dengan kedudukan agensi itu sendiri selaku agensi pelaksana utama cukai berkenaan. Namun, kenapa mereka mesti ditangkap oleh polis?
Ekoran kejadian itu, mungkin tidak salah jika banyak pihak menyifatkan negara ini telah menjadi negara polis sekarang.
Rakyat dicengkam oleh pihak pemerintah dengan cengkaman yang amat hebat sehingga untuk bertanyakan soalan berhubung cukai yang akan dikenakan ke atas mereka sendiri juga turut ditangkap. Pada hal, kerajaan sepatutnya mendengar rintihan rakyat, bukannya menghukum rakyat sebegitu rupa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.