Sabtu, 28 Mac 2015

Pegawai kastam kurang ceria dalam video GST

MALAYSIAKINI


 


Satu video mempromosi pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikesan tersebar di media sosial hari ini yang menerima pelbagai reaksi dari pengguna Internet.

Ia antara lain menunjukkan para pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia menyanyi beramai-ramai bagi mempromosi cukai yang akan berkuatkuasa Rabu depan.

Namun ada di antara para pegawai tersebut yang kelihatan tidak begitu ceria dalam video sepanjang tiga minit itu.

Pegawai lelaki itu, yang berdiri dalam barisan paling belakang, bagaimanapun dilihat berjaya mengekalkan kedudukan dan mengikut rentak tarian.

 
Ada kalangan pengguna Internet yang berpendapat, Jabatan Kastam sepatutnya mengupah seorang pereka tari untuk memperkemas persembahan tersebut.

"Mereka perlukan seorang pereka tari dengan lenggok tarian lebih baik. RTM sangat," kata pengguna Facebook, Fazi Ghazali.

Ada juga yang tidak yakin dengan kemampuan Jabatan Kastam menguruskan kutipan cukai tersebut apabila melihat mutu video berkenaan.

"Hancur lagu dan video GST Kastam ini. Lagu dan video pun tidak boleh urus dengan baik macam mana hendak urus cukai?," kata penulis muda terkenal, Pipiyapong di Twitter.

Sementara itu, ketua pengarah jabatan itu, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, video berkenaan bukan satu penerbitan rasminya.

Video berkenaan sebaliknya diusahakan oleh kakitangannya sendiri antaranya untuk meningkatkan semangat kerja di kalangan mereka, katanya seperti dipetik laman The Rakyat Post.

“Tidakkah anda pernah berasa begitu sayang pada kerja anda sehingga kadang-kadang anda mahu berbuat satu perkara yang seronok mengenainya?," katanya.

Menurutnya, penerbitan itu juga tidak menggunakan sebarang dana.

Bagaimanapun, gelagat peserta yang kurang ceria dalam video berkenaan masih menimbulkan tanda tanya sama ada pegawai tersebut dipaksa untuk menyertainya.

Kerajaan sebelum ini giat menerbitkan iklan di televisyen dan radio untuk mempromosi kebaikan GST.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.