MALAYSIAKINI
Beberapa anggota parlimen PAS membantah - akibatnya seorang diperintah
keluar Dewan Rakyat - selepas seorang menteri mendedahkan bahawa
kerajaan pusat tidak membawa cadangan pindaan undang-undang hudud ke
mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu pada 11 Mac.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata
enakmen syariah itu tidak pernah dibawa untuk perhatian majlis itu
sejak mula lagi.
Pengakuan itu mencetuskan kemarahan wakil-wakil rakyat PAS yang berkata
kerajaan pusat pernah berjanji dalam jawatankuasa teknikal hudud untuk
berbuat demikian sebelum pindaan dibawa ke Parlimen.
Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) diarah keluar dewan selepas beberapa
kali cuba menyoal Jamil Khir sebab kerajaan tidak mahu mengikut apa yang
telah dipersetuju dalam jawatankuasa teknikal.
Beliau diarah keluar oleh Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohamad Said
selepas 30 minit bertikam lidah, dengan menteri tersebut tidak memberi
jawapan memuaskan berhubung perkara itu.
Bercakap dalam sidang media selepas diarah keluar dewan, Mahfuz mendakwa
bahawa mesyuarat Majlis Kebangsan bagi Hal Ehwal Islam yang dipengerusi
oleh perdana menteri, telah bersetuju dengan pindaan itu dan telah
disebut akan dibentang dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini.
Oleh kerana kerajaan tidak berbuat demikian, dakwanya, Presiden PAS,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah membawa rang undang-undang
persendirian ke Parlimen.
"Rang undang-undang itu akan membuat ia mudah bagi Kelantan untuk
menguatkuasakan apa yang telah diluluskan di sidang Dewan Undangan
Negeri baru-baru ini," katanya.
Menurut Mahfuz lagi, ini membuktikan bahawa apabila terdapat tekanan
dari parti-parti komponen BN berhubung dengan hudud, kerajaan tidak
meneruskannya.
Sebut 'bacul'
Sementara itu, Bernama melaporkan tindakan itu diambil kerana
Mahfuz tidak mengendahkan arahan Ismail dan menghina Jamil Khir ketika
menteri berkenaan menggulung perbahasan usul itu.
"Tindakan ini jangan dijadikan isu di luar dewan selepas ini. Ia dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 42.
"Yang pertama, tidak mengendahkan nasihat saya supaya duduk diam, lama
saya biarkan....selain mengeluarkan perkataan menteri 'bacul'. Saya
dengar perkataan ini terhadap menteri (Jamil Khir).
"Dia (Mahfuz) berdegil tidak menghormati (Timbalan) Speaker dan apabila
diminta duduk diam, dia tidak menghiraukan arahan saya dan bukan kerana
menteri gagal jawab," kata Ismail seperti dilaporkan agensi berita
nasional.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.