Oleh Ng Kee Seng
Bekas Timbalan Presiden Umno Tun Musa Hitam telah menyeru partinya agar menyatakan pendirian
terhadap usaha PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan.Namun adakah
Umno dan pemimpinnya akan menuruti seruan itu? Jawapannya kita semua
sudah tahu.
Umno tidak akan
menyatakan pendiriannya, kerana satu-satu pendirian parti itu adalah
untuk kekal berkuasa dengan apa sahaja cara – walaupun ia menjejaskan
perpaduan negara. Ini dapat dilihat melalui sikap tolak ansurnya kepada
pentaksub kaum dan agama.
Rakyat jelas mengetahui bahawa sokongan penuh Umno terhadap pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac lalu adalah sebahagian daripada agenda politiknya.
Kekuatan
politik Umno kini pada tahap paling lemah dalam sejarah, dan ia
menggunakan perpaduan Melayu dan agama untuk kekal relevan dan
berkuasa.
Itulah satu-satunya sebab
mengapa Umno kini berterusan mengambil hati PAS. Malangnya bagi rakyat
Malaysia yang cintakan keamanan, PAS kini diketuai oleh Datuk Seri
Abdul Hadi Awang yang pro-Umno.
Dengan
berbaik dan menyokong agenda PAS, Umno telah berjaya memecah-belahkan
Pakatan Rakyat – gabungan yang telah melemahkan kerajaan Umno-BN dalam
PRU ke-12 dan 13.
Dalam dua
pilihanraya umum itu, Pakatan berjaya menubuhkan kerajaan di lima
negeri pada tahun 2008, dan menafikan majoriti dua pertiga BN di
Parlimen buat pertama kali dalam sejarah.
Maka,
satu-satunya agenda dan pendirian Umno buat masa ini adalah
menghancurkan kesatuan Pakatan, dan ia menjalankan rancangan tersebut
dengan cekap melalui “rakannya” Hadi Awang.
Namun
Pakatan bernasib baik apabila PKR menyeimbangkan agenda perkauman dan
agama Umno dengan tidak menyokong usaha hudud PAS di Parlimen atas
dasar parti itu memiliki pandangan berbeza berkaitan hudud.
Dalam
satu kenyataan dari Cordoba, Sepanyol dan dilaporkan the Malaysian
Insider, Musah Hitam berkata, Umno perlu segera menyatakan pendirian ke
atas hudud PAS dan tidak berpura-pura terkejut dengan usaha parti itu
untuk melaksanakannya di Kelantan.
Musa
berkata: “Hudud tidak sesuai bagi sebuah negara seperti Malaysia…Saya
amat kecewa dengan Umno sendiri, seolah-olah terpinga (dengan usaha
PAS) dan hingga sekarang masih belum menentukan pendirian tegasnya.
Saya boleh dikatakan begitu lama khuatir atas polisi dan agenda Umno di
sini.
“Umno mesti mengambil
pendirian tegas. Ini ialah isu nasional yang berimplikasi panjang dalam
negara di peringkat domestik mahu pun antarabangsa.
“Umno
tidak mampu dianggap seolah-olah cuba melebihi PAS dalam hal ini. Umno
janganlah mahu menjadi lebih PAS daripada PAS sendiri!”
Dengan
keputusan DAP dan PKR untuk tidak menyokong hudud PAS apabila ia
dibentang di Parlimen nanti, giliran Umno dan BN pula untuk menjelaskan
sama ada mereka menyokongnya.
Bagaimana dengan pendirian parti komponen BN, terutama MCA, MIC dan Gerakan.
Musa
berkata, orang ramai tidak harus merasa hairan dengan tindakan PAS
kerana parti itu “begitu lama dan konsisten mereka mengutarakan
manifestonya melaksanakan hukum ini.”
“(Dan)
Semua parti pembangkang yang ada di dalam Pakatan Rakyat pula
janganlah berpura-pura tidak mengetahuinya,” tambahnua lagi.
Pada masa sama, Musa menegaskan kembali pendiriannya bahawa hudud tidak sesuai untuk negara kita.
Sebagai
seorang bekas penganjur Umno, saya penuh percaya hati sanubari Umno,
sejak ditubuh hingga sekarang, berpendirian hudud tidak sesuai bagi
Malaysia yang berupa negara majmuk berbagai keturunan dan agama ini.
“Kalau
saya tersalah faham dalam hal ini, Umno harus menentukan pendiriannya
secepat mungkin. Isu ini sangat penting dan tidak boleh dibiarkan
begitu sahaja.
“Bukan sahaja negara
yang akan menanggung akibatnya tetapi Umno juga akan menghadapi akibat
buruk sebagai parti politik yang begitu banyak berkhidmat kepada bangsa
dan negara begitu lama.
“Janganlah
hendaknya Umno memusnahkan diri sendiri. Moga kenyataan saya ini
direstui Allah swt,” katanya lagi.- http://bm.theantdaily.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.