MALAYSIAKINI
Majlis kenduri anak Perdana Menteri, Nooryana Najwa Najib berjalan
dengan lancar malam tadi bagaimanapun mempelai itu tidak membenarkan
tetamu yang hadir berkongsi gambar dan video majlis itu di sosial media.
'Larangan' mempelai itu tersebar di sosial media apabila seorang tetamu
dan juga personaliti televisyen wanita Filipina, Kris Aquino berkongsi
permintaan Nooryana itu melalui akaun Instagram malam tadi.
“Pada hari yang berbahagia ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas
kehadiran anda bagi meraikan percintaan dan permulaan kehidupan baharu
kami bersama.
“Sebagai memelihara semangat keperibadian majlis ini, adalah sangat
dihargai jika anda tidak memuat naik sebarang gambar atau video dari
majlis ini ke Facebook, Twitter, Instagram mahupun mana-mana laman
sosial yang lain.
“Kerjasama dan keperihatinan anda sangat dihargai,” kandungan kad perkahwinan pasangan itu dipetik.
Sementara itu, Kris turut menulis di Instagram bahawa beliau menurut
arahan untuk tidak berkongsi gambar dan video seperti yang diminta
pasangan pengantin itu.
“Ini adalah permintaan khas (dari pengantin), untuk tidak muat naik
(gambar dan video di sosial media) jadi walaupun semua tetamu yang telah
hadir mengambil gambar tanpa henti, saya mentaati (arahan itu),” tulis
Kris di Instagram.
Minggu lalu, Nooryana melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya Daniyar Kessikbayev, seorang anak pembesar Kazakhstan.
Kenduri pasangan menjadi hangat apabila seramai 500 penyokong
perhimpunan Kita Lawan berarak dari pusat membeli belah Sogo ke Menara
Berkembar KLCC bagi ‘meraikan’ majlis itu.
Niat penyokong itu terhenti di Jalan Ampang apabila pihak polis menghalang mereka untuk masuk ke KLCC.
Peserta turut menyanyikan lagu klasik ‘selamat pengantin baru’, membawa
bunga manggar serta hantaran sebagai simbolik kepada majlis perkahwinan
itu sebelum bersurai pada jam 7 malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.