Isnin, 30 Mac 2015

Konsep 'bersetuju untuk tidak bersetuju' tidak ada masalah

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Konsep 'bersetuju untuk tidak bersetuju' akan tetap dipertahankan meskipun Pakatan Rakyat (PR) kini dilihat sering bertelagah, tegas Datuk Iskandar Abdul Samad.
 
Pesuruhjaya PAS Selangor itu kemudiannya berpendapat tidak ada keperluan untuk mengubah konsep itu memandangkan kerjasama di antara PAS-PKR-DAP masih berjalan lancar, terutamanya di Selangor.
 
"Walaupun ada masalah tetapi kita masih boleh selesaikannya. Kita masih lagi dapat bekerjasama dan bersahabat dengan meneruskan agenda-agenda kita bersama.
 
"Di sini (Selangor) kita di dalam DUN ini terdiri daripada semua parti yang ada. Kita dapat mentadbir kerajaan dengan baik dan hari ini pun kita mendapat pujian daripada Tuanku Sultan," katanya yang ditemui pemberita di Lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, pagi tadi.
 
Iskandar yang juga ADUN Chempaka terlebih dahulu diminta mengulas kenyataan Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Phahrolrazi Zawawi bahawa pertelingkahan antara parti-parti komponen PR tidak akan berkesudahan selagi wujud terma 'bersetuju untuk tidak bersetuju'.
 
Menurutnya, konsep itulah yang sebenarnya merosakkan kerjasama PAS-PKR-DAP dalam beberapa hal.
 
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pula berpendapat konsep 'bersetuju untuk tidak bersetuju' tidak membawa masalah kepada gabungan berkenaan memandangkan sebarang keputusan yang akan dibuat turut mengambil kira pandangan ketiga-tiga parti itu.
 
"Tidak bermasalah. Di dalam Islam sendiri, kita dibenarkan untuk bersetuju untuk tidak bersetuju kerana perbezaan pendapat akan mengukuhkan sesuatu keputusan yang dibuat. Kita tidak boleh ambil sikap diktator, enggan dengar pandangan dan maklum balas daripada pihak lain. 
 
"sebagai sebuah parti yang mengamalkan prinsip demokrasi dan hak memberikan pandangan, sudah tentu kita meraikan pandangan ini. Namun akhirnya kekuatan PR adalah bertindak dan membuat keputusan atas semangat konsensus dan muafakat. 
 
"Banyak isu besar mendepani PR telah berjaya diselesaikan kerana ada permuafakatan dan konsensus di dalam kepimpinan. Dan ia mesti dipertahankan oleh semua pihak," katanya lanjut.
 
PAS dan DAP pada ketika ini dilihat agak 'dingin' berikutan pengumuman Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi masih komited dengan PAS.
 
Keputusan itu dibuat ekoran PAS  bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan, sedangkan dakwa DAP, hudud tidak terkandung dalam agenda bersama Pakatan Rakyat. 
 
Ini ditambah dengan tindakan Hadi yang menghantar notis usul Rang Undang-undang Persendirian (RUU) bagi melaksanakan hudud di Kelantan kepada Dewan Rakyat, dan tindakan itu disifatkan DAP sebagai tidak jujur dan tidak bermaruah.
 
PAS pula mempertahankan pelaksanaan hudud kerana ia adalah hak demokrasi parti itu selain pendirian itu berdasarkan konsep 'bersetuju untuk tidak bersetuju' terhadap hukum tersebut.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.