Rabu, 25 Mac 2015

Isu jet baru: Jangan heret nama baik Agong, perincikan penggunaan semua jet

Oleh: Rafizi Ramli


Saya kesal kerana maklumbalas pertama dari Jabatan Perdana Menteri berhubung kontroversi pembelian jet peribadi (“private jet”) baru adalah dengan mengheret nama baik DYMM Yang DiPertuan Agong, kononnya pembelian ini perlu untuk kegunaan Yang DiPertuan Agong.

Tindakan ini tidak bertanggungjawab kerana rakyat dapat membezakan berapa kali Yang DiPertuan Agong terlibat di dalam lawatan-lawatan rasmi ke luar negara berbanding dengan Perdana Menteri sendiri.

newjet1

Bagi tempoh 2008 hingga 2013 seperti jawapan Parlimen kepada soalan YB Nga Kor Ming, kerajaan terpaksa membayar kos RM44 juta bagi semua lawatan ke luar negara melibatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak. Itu kos operasi sahaja tidak termasuk kos pembelian dan sewa beli jet-jet peribadi kerajaan.

Oleh itu, jika benar jet peribadi baru ini diperlukan untuk kegunaan Yang DiPertuan Agong seperti yang didakwa Jabatan Perdana Menteri, saya mencabar Dato’ Seri Najib Tun Razak memperincikan setiap perjalanan jet-jet peribadi milik kerajaan dan siapakah yang menggunakan jet-jet peribadi ini termasuklah Boeing Business Jet (BBJ) dan Airbus Commercial Jetliner (ACJ319) yang sedia ada?

Berapa kali sebulan jet-jet ini digunakan hingga jumlah jet yang sedia ada tidak mencukupi dan perlu ditambah lagi?

Alasan Jabatan Perdana Menteri bahawa pembelian ini perlu untuk menggantikan jet BBJ (Boeing Business Jet) yang telah lama juga tidak boleh diterimapakai.

Tempoh boleh guna sebuah jet Boeing komersil adalah di antara 20 hingga 25 tahun bila disenggara mengikut jadual seperti amalan industri penerbangan.

Jet BBJ yang dimiliki oleh Kerajaan Malaysia hanya berusia 16 tahun dan tidak pun digunakan sekerap jet komersil kerana hanya digunakan sekali-sekala untuk keperluan rasmi kerajaan.

Oleh yang demikian, alasan yang diberikan oleh Jabatan Perdana Menteri tidak boleh diterima rakyat kerana masih belum menjawab di mana kewajaran membeli satu lagi jet peribadi untuk kegunaan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri beliau.

Saya menasihati Perdana Menteri berterus terang sahaja dan tidak menggunakan pegawai-pegawai di Jabatan Perdana Menteri untuk mengelak dari menjawab isu ini.

* Rafizi Ramli adalah Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Pandan


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.