Roketkini.com
GELANG PATAH: Tindakan Datuk Seri Najib Razak yang membatu mendiamkan diri jelas sama sekali menyimpang jauh dari pendirian lima Perdana Menteri sebelum ini dalam isu hudud.
Menurut Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang, lima Perdana Menteri sebelum Najib tegas dalam soal hudud bahawa undang-undang itu sememangnya bercanggah dari Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 serta tidak sesuai dengan kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.
“Tindakan Najib yang berdiam diri itu seolah-olah menyatakan beliau telah menyimpang dari pendirian lima Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir dan Tun Abdullah dan prinsip dasar UMNO dan Barisan Nasional.
“Selama hampir 60 tahun, setiap Perdana Menteri jika ditanya tidak akan teragak-agak untuk mengisytiharkan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 tidak akan membenarkan pelaksanaan undang-undang hudud,” jelas Kit Siang.
Berikutan itu, Kit Siang membangkitkan persoalan apakah dengan sikap Najib ini harus difikirkan kembali oleh rakyat Malaysia dengan membina sebuah pakatan baru tanpa mengira pembangkang dan kerajaan demi untuk memartabatkan kembali asas kenegaraan Malaysia yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan.
“Jika di bawah Najib, dasar UMNO dan BN telah mengambil anjakan besar di mana Perdana Menteri tidak boleh mengulangi secara terbuka dan mengesahkan apa yang telah menjadi dasar UMNO, BN dan Perikatan dalam pembinaan negara untuk 58 tahun, mengikut Perlembagaan Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963 bahawa undang-undang hudud adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan tidak sesuai untuk sebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.
“Sikap berbelah bagi Najib ini sama sekali tidak boleh diterima dan mengharuskan kita untuk meneroka satu landskap politik baru melibatkan satu pakatan Malaysia yang baru, dengan Perdana Menteri yang baru, pasca-BN dan pasca-Pakatan,” tegas Kit Siang.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.