MALAYSIAKINI
Ada dalam kalangan umat Islam yang memberi alasan bagi menolak usul
persendirian berkaitan undang-undang jenayah dengan menggunakan beberapa
perkataan yang berkaitan hukum Islam.
Antaranya menyebut perkataan-perkataan seperti "Siyasah Syari’yyah",
"Maqasid Syari’ah", "Fiqh Aulawiyyat", "Maslahah" dan lain-lain.
Ketika membicarakan tajuk yang berat seperti ini, maka tentunya
sangatlah tidak manis sekiranya kita menjadi laksana burung kakaktua
yang pandai hanya menyebut kalimah yang diajar oleh tuannya.
Namun tetap berstatus binatang tanpa akal tanpa memahami hakikat atau
tasawwur daripada perkataan yang diucap. Maka menjelaskan maknanya
dengan ilmu yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah adalah sangat
penting.
"Hudud" adalah cabutan daripada salah satu daripada hukum jenayah yang
banyak dan menyeluruh. Mungkin sengaja dijadikan hujah yang difikirkan
bagi menolak syari’at.
Mereka menganggap hudud paling sesuai dijadikan sasaran kerana pandangan
mereka paling ganas, tanpa mengetahui secara detail dan objektif.
Tanpa menyedari pula betapa ganasnya undang-undang ciptaan manusia yang
masih dibanggakan, seperti hukuman bunuh secara kuno: menjerut tali ke
leher secara menggantung, begitu juga hukuman sebat sehingga menyeksa
tanpa kesan mendidik masyarakat.
Penjelasan ini khusus bagi penganut Islam yang jahil tanpa dimaafkan,
kerana beriman tanpa ilmu dan tidak berbudiman terhadap agama sendiri,
serta tanpa peduli terhadap batas-batas iman dan kufur yang wajib
diketahui dan dipelihara secara fardu ‘ain.
Dr Yusuf al-Qardawi dalam kitabnya Taisir al-Fiqh lil Muslim al-Mu'asir di halaman 102 menjelaskan: Terdapat tiga madrasah (pandangan) apabila menghadapi masalah semasa:
1) Kalangan yang berpegang kepada nas juzi’i yang zahir secara jumud
tanpa menterjemahkannya secara ijtihad melalui ilmu Siyasah Syariyyah,
Usul dan Maqasid.
2) Kalangan yang menyalahgunakan Siyasah Syar'iyyah, Usul dan Maqasid sehingga membelakangi nas yang nyata.
3) Kalangan yang mengambil kira kedua-dua aspek yang penting dalam ilmu Islam.
Nas yang nyata adalah ilmu Allah yang difirmankan atau ucapan Rasulullah
SAW yang bersifat ma’sum. Adapun yang lain dari nas yang nyata adalah
keizinan Allah bagi ruang ijtihad di kalangan para ulama bagi
melaksanakan syariat Islam dengan bijak dan adil, bukannya meninggal
syariat Allah dengan alasan sehingga boleh digantikan dengan
undang-undang ciptaan manusia yang dianggap lebih baik.
1) Siyasah Syari’yyah
Perkataan "siyasah" daripada bahasa Arab yang bermaksud mentadbir,
mengurus dan memandu atau memimpin yang disebut terkini dengan perkataan
politik atau pentadbiran atau panduan. Dicampur dengan perkataan Syara’
dengan maksud kaitannya dengan urusan pelaksanaan syariat mengikut
jadual, pelaksanaan, dan pengurusan melaksanakan hukum Islam, bukannya
meninggalkan hukum Islam untuk diganti dengan yang lain.
(Sila lihat huraian secara khsus dalam kitab Ahkam Sultaniyyah Karangan
al-Mawardi dan Ghiath karangan Imam Haramain daripada Mazhab Syafei;
al-Sair al-Kabir daripada mazhab Hanafi; Siyasah Syariyyah Ibnu
Taimiyyah dan Turuq Hukmiyyah Ibnu Qayyim daripada mazhab Hambali dan
Muqaddimah Ibnu Khaldun daripada mazahab Maliki).
Tegasnya ialah melaksanakan Syariat dengan betul, bukannya meninggalkan Syariat Allah dengan gantian hukum yang lain.
2) Maqasid Syari’ah
"Maqasid" bermakna tujuan-tujuan, maksudnya ialah tujuan pelaksanaan
syariat. Objektifnya ialah cara mencapai matlamat membawa maslahat
kebaikan kepada manusia secara umum dan khusus secara adil dan istiqamah
dan menolak kemudaratan.
Di sini pula ada tujuan yang telah ditetapkan oleh syara' dan ada juga
yang tidak disebut di mana Allah memberi keizinan mengikut kemampuan
akal dan ilmu manusia.
(Kepada yang mampu berbahasa Arab sila rujuk kepada dua tokoh ilmu
Maqasid, Al Syatibi dalam kitab Al Muwafaqat, jilid 2, muka surat 391
dan Ibnu ‘Asyur, muka surat 19)
Contohnya, apabila khalifah Umar tidak memotong tangan pencuri di tahun
melesetnya ekonomi kerana berlakunya kemarau panjang, dan bukannya
kerana meninggalkan hudud, tetapi disebabkan melihat keadaan desakan
hidup apabila dibayar gaji yang tidak mencukupi, menjadikan seseorang
itu melakukan jenayah secara terdesak.
Maka kerana itu hukuman potong tangan adalah haram dilaksanakan, kerana
Hadis Rasulullah SAW: "Hukuman hudud ditolak (kerana adanya syubuhat."
Ditolak hukuman hudud ini pula, bukan bermakna terlepas begitu sahaja.
Tetapi hendaklah dipindahkan kepada hukuman takzir yang termasuk dalam
ruang syariat Islam. Hukuman hudud tidak boleh dijatuhkan kerana tidak
memenuhi syarat yang mencapai adil dan mendidik masyarakat mengikut
kemampuan.
Mudarat daripada kemelesetan ekonomi yang menimpa penjenayah adalah
lebih besar. Sebaliknya kalau pencuri itu seorang berpendapatan tinggi
sudah tentu dihukumkan.
Maqasid Syari’ah tidak bermakna membatalkan penguatkusaan undang-undang
hudud. Maqasid Syari’ah dalam hal ini bermakna hukuman tidak boleh
dijatuhkan kerana menafikan tindakan secara adil yang menjadi matlamat
syariat.
Kalau dijatuhkan hukuman juga, bermakna kita tidak melaksanakan syariat
kerana tidak mencapai matlamatnya. Meninggalkan syariat secara total
menghilangkan segala maqasidnya.
Contohnya juga ialah mengenai kalimah Allah dibenarkan penggunaannya
pada asalnya oleh penganut bukan Islam walau pun salah mengikut
penafsiran kita, tetapi apabila tujuan penggunaannya bagi mengelirukan
penganut Islam yang jahil, maka pihak berkuasa berkenaan agama Islam
berhak menghalangnya. Mengikut kaedah: al-Umur bi Maqasidaha (Semua
perkara dilihat juga kepada tujuannya)
3) Fiqh Aulawiyyat
Bermaksud melihat keutamaan secara fiqh (faham mengikut panduan Syariat).
Contohnya Islam meletakkan perkara keperluan rukun hidup bagi manusia
ialah memelihara (1) akidah agama, (2) nyawa, (3) akal, (4) keturunan
dan (5) harta.
Contohnya tidak dijatuhkan hukuman hudud terhadap pencuri kerana lapar
adalah kerana keutamaan memelihara nyawa hendaklah didahulukan daripada
memelihara harta.
Hukuman hudud ditangguh dalam keadaan perang kerana menghalang
penjenayah melarikan diri kepada musuh, kerana keselamatan negara
diutamakan. Bukan bermakna penjenayah dibebaskan, tetapi diturunkan
kepada hukuman takzir.
Orang bukan Islam dikecualikan dahulu kerana berdakwah dalam konsep tiada paksaan dalam agama adalah lebih aulawiyyat.
Contohnya juga seperti pengambilan tanah untuk mendirikan hospital atau
jalan raya adalah diizinkan kerana kepentingan umum hendaklah
didahulukan daripada kepentingan individu atau segelintir, dan hendaklah
diganti tanah itu secara yang adil pula.
“Aulawiyyat” itu pula hendaklah dalam ruang lingkup hukum syariat terlebih dahulu, bukannya bermakna meninggalkan hukum syariat.
Apabila segala syarat tidak ada bagi hukum Hudud dan Qisas maka hendaklah dipilih dalam ruang hukum takzir yang sangat luas.
Bukannya melarikan diri kepada hukum ciptaan Barat yang banyak
kelemahannya. Perlu disedari bahawa di sana ada juga tidak yang sama
dengan undang – undang yang sedia ada, perbezaannya tidak ada roh
seperti syariat Islam. (Lihat Dr Yusuf Al Qardhawi dalam Siyasah
Syar'iyyah halaman 284-297)
4) Maslahah
“Maslahah” dengan maksud tujuan membawa kebaikan. Sama ada mendapat
faedah atau menolak kemudaratan. Para ulama membahagikan maslahat itu
kepada tiga kedudukan:
i) Maslahah Mu’atabarah
Ialah dalam perkara yang telah ditetap oleh Allah Yang Maha Mengetahui
dan Rahmat terhadap makhluknya. Maka ada yang diwajibkan dan ada pula
yang diharamkan. Maka percayalah bahawa semua yang diwajibkan tetap
membawa kebaikan dunia dan akhirat. Perkara yang diharamkan tetap
mendatang mudarat kepada diri atau masyarakat. Contohnya ialah seperti
wajibnya berpuasa kepada yang mampu dan haramnya arak dan judi. Ianya
adalah ketetapan Allah SWT.
ii) Maslahah Mulghah
Dalam perkara yang diharamkan kerana mudaratnya lebih besar atau
manfaatnya tidak ada .Contohnya seorang yang mencuri atau merompak atau
mengedar dadah dengan maslahat mengumpul duit untuk kebajikan atau
nafkah keluarga. Maslahat ini dibatalkan kerana mudaratnya sangat besar
sehingga menimbus segala kebaikannya.
iii) Maslahah mursalah atau Masoleh mursalah
Dalam perkara yang didiamkan oleh al-Quran dan Hadis maka ruangnya adalah terlalu luas kepada manusia di sepanjang zaman.
Melaksanakan syariat adalah maslahah yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Penyayang kepada makhluknya.
Isu Enakmen Kanun Jenayah Syariat (KJS) Negeri Kelantan
Isu undang-undang jenayah Syariat menjadi hangat sejak kedatangan
penjajah apabila mereka menghapuskannya. Seterusnya menjadi hangat di
kalangan umat Islam sendiri kerana kejahilan agama dan pendekatan,
sehingga berlakunya isu kafir mengafir dalam masyarakat sendiri kerana
kejahilan hukum dan kejahilan cara pendekatan berdakwah.
Apabila keadaan dapat diredakan, maka PAS mengambil langkah ke depan
melalui kemenangannya di Kelantan, kemudiannya di Terengganu secara ilmu
dan demokratik.
Langkah pertama ialah menubuhkan pasukan daripada parti dan kerajaan.
Pasukan ini melibatkan Ketua Dewan Ulama dan kalangan ahli majlis Syura
Ulama, Tun Saleh Abas (mantan Ketua Hakim Negara), al-Marhum Prof Ahmad
Ibrahim salah seorang pengasas UIA (mantan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
tahun lima puluhan daripada Singapura dan mantan Peguam Negara Singapura
yang pertama), al-Marhum Dr Mahmud Saedon Awang Osman (dari UIA dan
pakar syariah negara Brunei Darussalam), al-marhum Datuk Abdul Halim
Muhammad (mantan penasihat undang-undang Kelantan dan exco kerajaan
negeri) dan Datuk Daud Mohamad (kadi besar Kelantan).
Sebelum enakmen ini dibawa kepada DUN Kelantan, ia terlebih dahulu
dibentangkan kepada umum di berbagai forum – seminar dan dialog.
Akhirnya enakmen berkenaan dibawa ke Dewan Undangan Negeri Kelantan pada
1993 dan DUN Terengganu pada 2000.
Manakala Kelantan pula memperkukuhkannya secara mengadakan seminar dan sambutan mengenainya secara tahunan.
Kini setelah lebih dari 20 tahun (dua puluh tahun) PAS memperkenalkan
enakmen ini, di samping melaksanakan proses pendidikan mengenai EKJS
dalam masyarakat, dialog dan sebagainya.
Maka PAS ingin bergerak setapak lagi dalam proses mendidik masyarakat
untuk mengenali hukum-hakam syariat Islam yang menyeluruh. Hasilnya kini
suara yang mengeji hukum Islam ini semakin hari menjadi terpencil.
Maka dengan sedikit ruang yang ada ini, Enakmen KJS ini mengalami
beberapa pindaan-pindaan memperkemaskannya dengan mengambil kira cabaran
dalam perlembagaan dan masyarakat majmuk, tanpa paksaan, dan bagi orang
Islam sahaja setelah mengambil kira pandangan para ulama daripada semua
mazhab dan sejarah pelaksanaan yang berjaya di sepanjang zaman.
Dalam masa yang sama, apa yang ingin dicadang dan akan dibawa oleh PAS
menerusi Private Members Bill (rang undang-undang persendirian) nanti
pula bukanlah rang undang-undang hudud, tetapi pindaan dalam Akta
Mahkamah Syariah untuk membuka sedikit ruang bagi membolehkan satu-dua
aspek syariah itu dilaksanakan terhadap penganut Islam sahaja.
Kita adalah makhluk yang berilmu, bertamadun dan matang. Maka dengarlah
dahulu apa yang ingin dikemukakan. Jangan terus melompat dan bertempik
gegak gempita memberikan kritikan tanpa mengetahui hujung pangkalnya.
Firman Allah: "Dan hendaklah kamu melaksanakan kalangan mereka hukum
yang telah diturunkan oleh Allah, dan jangan sekali-kali engkau mengikut
hawa nafsu mereka (meninggalkan hukum Allah) sehingga engkau
meninggalkan sebahagian daripada apa yang telah diturunkan oleh Allah
kepadamu.
"Maka jika sekiranya mereka berpaling(enggan)maka ketahuilah bahawa
sesungguhnya Allah hendak mengenakan mereka dengan sebab sebahagian
daripada dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya sebahagian daripada maknusia
itu adalah orang-orang yang jahat).
"Adakah mereka mahukan hukum jahiliyyah, padahal siapakan lagi yang
paling baik hukumnya daripada Allah kepada orang-orang yang percaya
dengan yakin."
ABDUL HADI AWANG presiden PAS dan ahli parlimen Marang. Artikel ini asalnya surat terbuka beliau kepada masyarakat Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.