Isnin, 30 Mac 2015

Exco: Jangan sensitif slogan #KitaLawan

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan Selangor meminta agar kerajaan pusat tidak menimbulkan sebarang isu berhubung slogan “#KitaLawan” yang akan digunakan pasukan negeri itu dalam temasya SUKMA 2016 di Sarawak tahun depan.

"Kita gunakan (slogan) 'ini kalilah' pada 2013 dan prestasi kita baik. Mereka tidak bangkitkan masalah,” kata exconya, Amirudin Shari.

Ungkapan “ini kalilah” sering digunakan sebagai slogan anti-BN dari kalangan aktivis Sabah semasa kempen pilihan raya umum ke-13 pada Mei 2013.

Slogan yang digunakan oleh pasukan Selangor ke SUKMA pada tahun itu adalah “Kali inilah”.

Beliau menjawab kenyataan dari Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga Timbalan Mentgeri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan yang menggesa kerajaan Selangor tidak menggunakan slogan "#KitaLawan" kerana didakwa bersifat politik.

Mengulas perkara itu, Amirudin berkata, NSC dan Saravanan terlalu sensitif dalam isu berkenaan tanpa sebarang alasan munasabah.

"Apa yang kita lakukan adalah melancarkan satu logo dan slogan. Ini hanyalah tiga peratus daripada keseluruhan persiapan kita. Perkara ini mungkin berubah sebelum 2016.

"Jadi buat masa ini, saya tidak mahu buang masa dengan para pengkritik. Saya mahu fokus perhatian pada pembangunan sukan di Selangor dan persediaan untuk SUKMA,” katanya.

Kita Lawan merupakan slogan bagi kumpulan aktivis yang mengadakan perhimpunan setiap hari Sabtu di Kuala Lumpur sejak ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan pada 10 Februari.

Kini, ia berkembang daripada satu kumpulan yang mendesak Anwar dibebaskan menjadi pergerakan yang mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dipecat, dan juga pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.