Roketkini.com
Setiausaha Organisasi, Anthony Loke Siew Fook adalah individu paling sibuk sepanjang bulan lalu. Diamanahkan sebagai Pengarah Misi Bantuan Bencana Banjir DAP, beliau bertanggungjawab merancang, menyelaras dan mengagihkan bantuan hasil sumbangan rakyat Malaysia dari seluruh negara kepada mangsa banjir di negeri-negeri Pantai Timur.
Walaupun nampak sedikit keletihan, namun dilihat bersemangat untuk berkhidmat membantu saudara se-Malaysia yang menghadapi masa sukar. Malah usaha dan bantuan tidak hanya ketika bencana, malah rencana bantuan dilanjutkan ke fasa pemulihan pasca-banjir.
Justeru itu, sebagai antara individu terawal tiba, malah mungkin yang terakhir meninggalkan kawasan bencana, barangkali ada nukilan yang mahu dititipkan buat pembaca Roketkini.
Bagaimana suasana selepas banjir di Kelantan?
Saya rasa kemusnahan yang berlaku di Kuala Krai dan Manek Urai sangat dahsyat. Ada kampung yang dihanyutkan kesemuanya, memerlukan moblisasi kerajaan.
Banyak kawasan yang mana mangsa mengalami keadaan dimana semua harta bendanya musnah. Keadaan ini memerlukan tindakan pantas dan mobilisasi termasuk dari tentera.
Pertamanya untuk mengelak wabak penyakit dan memastikan keselamatan penduduk. Walaupun banjir surut, tetapi keadaan di lapangan sangat teruk. Banyak sampah tak dikutip. Rumah musnah dan ada penduduk masih belum dapat penempatan semula. Ini sebabnya perhatian lebih besar perlu diberikan pihak kerajaan.
Tidakkah darurat menyebabkan parti politik dan NGO dilarang akses dan memberi pandangan, kerana keadaan itu dimonopoli pihak berkuasa?
Saya rasa boleh ada koordinasi dengan pihak kerajaan. Ini bukannya darurat perang atau darurat keselamatan. Ini darurat bencana.
Saya rasa itu dimaksudkan saudara Lim Kit Siang. Kita memerlukan koordinasi dari pihak kerajaan dan agensinya untuk bekerjasama bersama NGO, parti politik dan orang ramai.
Orang ramai ingin menghulurkan bantuan dan bersimpati dengan mangsa banjir. Ini menunjukkan semangat rakyat Malaysia. Saya rasa kerajaan tidak ambil peluang ini untuk menyatukan rakyat.
Kalau ada usaha bersepadu dijalankan, sudah tentu dapat menyemarakkan perpaduan. Keadaan ini disia-siakan oleh kerajaan. Mereka tidak ambil endah dengan cadangan yang kita lontarkan.
DAP kelihatan fokus kepada tempat seperti Temerloh, Kuala Krai dan Gua Musang. sedangkan kawasan ini bukan lokasi kebiasaan gerak kerja DAP.
Secara umumnya di negeri Kelantan, kehadiran DAP amat minimum, lebih-lebih lagi di Kuala Krai dan Gua Musang. Tetapi kita melihat kepada keperluan. Mengapa kita banyak beri tumpuan di Kuala Krai dan Gua Musang?
Semua pihak bersetuju bahawa kerosakan dan kemusnahan paling teruk dialami di Kuala Krai, diikuti di Gua Musang. Di Mentakab dan Temerloh memang diberi perhatian kerana kawasan ini memiliki ADUN daripada DAP. ADUN kita terlibat dengan operasi bantuan. Memang ada sebab mengapa perhatian secara khusus.
Yang pertama melihatkan kemusnahan. Semua yang datang bersetuju keadaan di Manek Urai dan Kuala Krai menimbulkan perasaan yang amat pilu. Kemusnahan luar biasa dirasai. Itu sebabnya ada keperluan untuk kita berikan kepada mangsa di Kuala Krai. Ramai di kalangan mereka menghadapi kemusnahan segala-galanya. Difahamkan lebih 1,000 rumah musnah.
Sebab yang kedua adalah sebab peribadi. Saya membantu di Kuala Krai kerana saya amat bersimpati dengan Ahli Parlimen Kuala Krai, sahabat baik saya di Parlimen, iaitu Dr Hatta Ramli. Memang diketahui ramai bahawa beliau pemimpin dikenali ramai, disukai dan popular bukan sahaja di kalangan ahli PAS, tetapi di kalangan rakan Pakatan Rakyat.
Saya sendiri ada hubungan rapat kerana saya mengenali beliau dan YAB Azmin Ali semasa berkhidmat dalam Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) penambahbaikan pilihan raya pada 2012.
Selama enam bulan, kita bersama-sama bermesyuarat, membuat lawatan ke luar negara dan sebagainya. Semasa berkhidmat dalam PSC, kami amat rapat sekali. Semenjak itu saya anggap beliau sebagai seorang abang, dan sahabat yang baik di Parlimen.
Kalau saya meletakkan diri saya dalam keadaan beliau, tak tahu bagaimana hendak menghadapinya melihatkan kepada kemusnahan yang teruk. Saya amat bersimpati. Apa yang baik tentang Dr Hatta adalah – beliau seorang yang amat positif. Walaupun menghadapi keadaan yang begitu mencabar, masih boleh memberikan senyuman. Beliau seorang yang amat kuat semangat, peramah dan positif.
Dari sudut parti rakan dalam Pakatan Rakyat, saya secara peribadi berusaha sedaya-upaya membantu dan memastikan segala sumber sama ada dari segi bekalan makanan dan bahan-bahan keperluan mencukupi dihantar kepada pusat khidmat beliau di Kuala Krai. Itu sekurang-kurangnya yang mampu kita lakukan. Dana yang dikutip sebahagiannya disumbangkan kepada Pusat Khidmat Parlimen Kuala Krai.
Ini antara sedikit sebanyak yang cuba saya usahakan dalam kemampuan untuk membantu, bukan sahaja seorang kawan yang menghadapi kesusahan, tetapi kepada rakyat Malaysia di Kuala Krai yang kini menghadapi kedudukan yang amat mencabar.
Terdapat rungutan daripada mangsa banjir bahawa barangan bantuan tidak diagihkan agensi Pusat, hanya diletakkan di pusat pengumpulan. Apa pandangan saudara?
Dalam keadaan malapetaka dan bencana, adalah sesuatu yang amat malang kalau ada sikap memilih-milih. Kita memberikan arahan kepada semua sukarelawan dan petugas supaya mengagihkan bantuan kepada semua mangsa secara adil. Hampir semua penduduk di Kuala Krai adalah mangsa. Tak ada unsur pilih kasih. Kita beri kepada sesiapa yang memerlukan.
Dalam bencana kita tidak mahu ada keadaan dimana mangsa hanya melihat bantuan, namun tidak sampai ke tangan mereka. Kita memastikan barangan tu diagihkan kepada mangsa sebaik mungkin.
Walaupun ada kelemahan dari segi agihan, tetapi sebaik mungkin tambahan barangan kita agihkan. Kita ada tanggungjawab besar memastikan sumbangan orang ramai sampai. Rakyat di negeri lain memberi kepercayaan kepada kita membawa barangan dan wang ringgit, dan tanggungjawab kita adalah sampaikan kepada mangsa.
Melihatkan keadaan mangsa banjir masih belum pulih dan memerlukan dokongan berterusan, apakah DAP ada perancangan tertentu membantu mereka?
Memang ada usaha berterusan. Takkan berakhir dari segi sumbangan sahaja. Kita akan teruskan kerjasama dengan rakan-rakan, khususnya dalam PAS yang ada inisiatif. Pemimpin seperti Datuk Husam Musa, bekas speaker DUN Kelantan Cikgu Rahim, Dr Hatta dan Dr Dzulkefly Ahmad mempunyai perancangan membina semula kampung dan penempatan sementara untuk mangsa banjir yang kehilangan rumah dan mereka yang tinggal sehelai sepinggang.
Ada rancangan lebih menyeluruh untuk membina semula dan membaiki rumah. Pihak DAP akan beri sokongan. Kalau perlu kerjasama dari segi tenaga manusia. kita akan berikan sumbangan tenaga manusia. Kita akan mengerahkan ahli kita untuk turun bergotong-royong membina rumah dan penempatan sementara. Kita akan teruskan bukan sahaja sokongan kewangan, tetapi sumber tenaga manusia.
Bagaimana dengan masyarakat perniagaan yang terjejas?
Komuniti perniagaan terjejas teruk. Mereka memerlukan bantuan. Seperti yang dicadangkan saudara Lim Kit Siang, kerajaan Pusat perlu menubuhkan dana pinjaman tanpa faedah kepada peniaga kecil menghidupkan semula perniagaan mereka.
Semua peniaga terjejas akibat banjir dan menghadapi masalah modal pusingan. Sekiranya mereka ingin membuat pinjaman daripada bank, sudah tentu sukar kerana kebanyakan mereka tentu tidak dapat membuat pinjaman. Bank akan mengambil masa selain pelbagai syarat dan prosedur yang perlu dipatuhi.
Masalahnya, isu ini serius dan perlu dibahas dan diputuskan melalui undang-undang. Bagaimana DAP mahu melakukannya?
Parlimen akan bersidang pada 9 Mac. Sudah tentu isu banjir menjadi tumpuan. Kita akan persoalkan dan pastikan perbelanjaan itu secara telus. Perlu ada bantuan daripada kerajaan berbentuk dana tanpa faedah.
Cadangan ini perlu dilaksanakan segera oleh Pusat kerana kerajaan negeri tidak berkemampuan melakukannya. Kerajaan Pusat dengan kerjasama bank-bank swasta boleh bekerjasama melalui jaminan untuk membenarkan pinjaman.
Walaupun bencana berlaku di Kelantan dan negeri-negeri di Pantai Timur dimana tradisinya tidak ada penampilan dan bukannya kawasan tradisi DAP, seluruh pimpinan turun padang termasuk saudara Lim Kit Siang dan Lim saudara Guan Eng.
Ini adalah manifestasi kemanusiaan menjangkau fahaman politik. Walaupun sebelum ini ada masalah dengan PAS, khususnya PAS Kelantan berhubung isu Hudud, namun kita ketepikan politik terlebih dahulu. Ini melibatkan isu hidup-mati rakyat. Bagi kita, isu kemanusiaan mengatasi segala-galanya.
Kita akan membantu terutamanya PAS yang menjadi pemerintah di Kelantan. Dan PAS adalah rakan dalam Pakatan Rakyat. Adalah tanggungjawab kita untuk turun membantu, bukan sahaja di Kelantan, tetapi juga di negeri-negeri Pantai Timur secara amnya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.