MALAYSIAKINI
Timbalan presiden PKR Azmin Ali mengutuk serbuan polis ke atas ibu
pejabat parti itu semalam dan juga penahanan setiausaha agungnya Rafizi
Ramli.
Katanya, ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu bertanggungjawab ke atas tindakan “kejam” seperti itu.
"Ia tindakan tidak mengikut perlembagaan dan satu penyalahgunaan kuasa dan merupakan serangan ke atas pembangkang secara umum.
"Kami menuntut polis menghentikan serta-merta gangguan dan tindakan angkuh ini," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau, yang juga MB Selangor, berkata ramai individu yang ditahan polis
dalam operasi ke atas perhimpunan Kita Lawan merupakan para wakil
rakyat.
"Mereka terikat dengan sumpah jawatan mereka sebagai wakil rakyat untuk berkhidmat kepada rakyat.
"Bukan sahaja 'Kita Lawan' satu bentuk protes yang dibenarkan mengikut
perlembagaan tetapi usaha untuk menyekat aktiviti seperti ini juga
berniat untuk menghalang para pemimpin ini daripada menjalankan tugas
mereka.
"Ini samalah seperti menghina hak perlembagaan dan kebebasan rakyat dan menjejaskan kedaulatan undang-undang," katanya.
Dalam nada sama, ketua Angkatan Muda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata
polis juga tidak perlu membawa Rafizi ke pejabat parti itu dan juga
merampas peralatan pejabat.
"Kami kesal dalam isu-isu melibatkan masyarakat sivil dan parti-parti
lawan Umno-BN polis mengambil pendekatan yang keterlaluan," katanya.
Beliau melihat bahawa tangkapan seperti itu hanya bertujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat.
"Namun sebagaimana dilihat akhir-akhir ini, tangkapan demi tangkapan
hanya menyemarakkan lagi semangat rakyat khususnya anak muda untuk
melawan kezaliman dan menuntut keadilan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.