MALAYSIAKINI
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali hari ini enggan menyatakan
pendirian parti itu berhubung tindakan DAP Sarawak menarik diri daripada
kerjasama politik Pakatan Rakyat.
Beliau setakat menyatakan pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan bagi
sebarang isu berkaitan kerjasama Pakatan dengan DAP dan PAS.
Beliau cuba mengelak dari menyentuh isu berkenaan dengan mengatakan perkara tersebut boleh dibincangkan dalam forum yang lain.
"Tak apalah, kita bincang (mengenai tindakan DAP Sarawak keluar PR) dalam forum yang lain. Semuanya berada dalam keadaan baik.
"Saya sedia maklum dengan tindakan itu dan semua masalah boleh
diselesaikan dengan keadaan yang sama," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan majlis pecah tanah projek perumahan mampu milik di Bandar
Parklands di Klang.
Mohamed Azmin berkata, beliau tetap akan meneruskan kerjasama dengan DAP dan PAS seperti sebelumnya.
Menurutnya, ketiga-tiga parti dalam pakatan itu mempunyai kebijaksanaan tersendiri untuk menyelesaikan isu tersebut.
DAP Sarawak mengumumkan keputusan keluar daripada kerjasama Pakatan
semalam kerana kecewa dengan tindakan PAS yang mahu melaksanakan hukum
hudud di Kelantan.
Pengumuman yang dibuat Pengerusi DAP negeri, Chong Chieng Jen, itu
dikatakan mendapat persetujuan sebulat suara kepimpinan DAP negeri.
Mereka mendakwa PAS telah menyeleweng daripada dasar bersama Pakatan apabila mahu melaksanakan undang-undang berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin, yang juga menteri besar
Selangor, menegaskan perjanjian penstrukturan industri air Selangor
hanya akan dimuktamadkan pihaknya sekiranya kerajaan persekutuan
berpegang pada syarat asal.
Menurut beliau, pihaknya dijangka mengadakan pertemuan seterusnya dengan
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili
minggu depan bagi mengadakan perbincangan lanjut mengenainya.
"Kerajaan negeri akan meneruskan rundingan tersebut kerana Setiausaha
Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi telah mengadakan
perbincangan dengan kerajaan persekutuan yang diwakili Ketua Setiausaha
Kettha Datuk Loo Took Gee, Isnin lepas," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.