Ahad, 1 Februari 2015

Sabah perlu ikut jejak Sarawak turun tarif elektrik

Chan-Foong-Hin

Roketkini.com

 
KOTA KINABALU: DAP mencabar Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Raymond Tah melaksanakan segera keperluan yang membawa faedah kepada semua jika bersungguh-sungguh mahu membantu rakyat meningkatkan taraf hidup.

Naib Pengerusi DAP Sabah Chan Foong Hin berkata, perkara itu termasuk mengurangkan tarif elektrik dan memastikan bekalannya konsisten.

“Sabah perlu mengikut jejak langkah Sarawak yang telah mengurangkan tarif sehingga 40 peratus.
“Bekalan tenaga elektrik juga perlu konsisten, dan kerajaan negeri harus memastikan bayaran pampasan dibuat kepada penduduk akibat gangguan elektrik tak berjadual,” katanya.

ADUN Sri Tanjong itu menegaskan, Raymond sebagai Timbalan Ketua Menteri negeri juga harus memansuhkan penswastaan pelabuhan, membuka rangkaian wifi dan membendung harga rumah yang jauh dari harga mampu milik.

Tambah Foong Hin, Raymond semasa mengumumkan hasil kaji selidik kos sara hidup di Kota Kinabalu menyarankan semua majikan di Sabah meningkatkan gaji pekerja bagi membantu mereka meningkatkan taraf kehidupan.

Namun, kenyataan Raymond itu tiada gunanya jika peniaga sendiri menghadapi kesukaran untuk menjalankan perniagaan mereka di negeri itu.

“Tahukah Raymond bahawa kerajaannya sendiri melaksanakan cukai 5 peratus ke atas eksport makanan laut, sekaligus menyusahkan pengendali atau pengusaha industri makanan laut? soalnya.

Pendapatan penduduk KK sekadar ‘cukup makan’

Sementara itu, berdasarkan kaji selidik yang disiarkan dalam Majalah Industri Suku Tahunan Sabah (SIQ), seseorang memerlukan sekurang-kurangnya pendapatan RM3,000 sebulan untuk hidup agak selesa di Kota Kinabalu.

Namun, malangnya lebih separuh penduduk di Kota Kinabalu berpendapatan di bawah RM2,500.
“Lebih separuh penduduk bergaji kurang dari tahap minimum ‘balik modal’ dan akhirnya mereka tidak dapat menikmati hidup dengan selesa.

“Raymond seharusnya berasa malu atas kegagalan kerajaan negeri meningkatkan pendapatan rakyat.
“Perkara yang paling tidak masuk akal ialah beliau menyarankan pengusaha meningkatkan gaji pekerja,

“Ini jelas cubaan menyalah dan mengkambing-hitamkan peniaga atas kegagalannya sendiri,” kata Foong Hin. – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.