MALAYSIAKINI
Wang pampasan mangsa tragedi Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370
akan dimasukkan ke dalam akaun waris kira-kira tiga minggu selepas
proses dokumentasi dan kertas kerja selesai, kata Pengarah Krisis
MH370/MH17, Fuad Sharuji.
Beliau berkata terlebih dahulu waris perlu membuktikan pertalian dengan
mangsa dengan memberikan dokumen seperti sijil kelahiran dan sijil
perkahwinan yang telah disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah.
Menurutnya selepas dokumen berkenaan sudah disah dan diserahkan maka
bayaran akan dibuat terus ke dalam akaun waris dalam tempoh tiga minggu.
"Peguam kami akan menghubungi waris dan akan membantu mereka dalam
proses dokumentasi tersebut," katanya dalam program 'Landskap' terbitan
RTM1 yang dikendalikan oleh Sayed Munawar Sayed Mustar dan Shuhaimi
Mohamed.
Program tersebut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS,
Ahmad Jauhari Yahya dan Naib Presiden Kanan dan Ketua Komunikasi
Korporat MAS, Datuk Najmuddin Abdullah
Fuad berkata jumlah pampasan dijangka akan dibayar lebih dari apa yang
ditetapkan oleh Konvensyen Montreal 1999 tapi jumlah pampasan tersebut
tidak boleh didedahkan lagi.
"Pampasan kita lebih dari skema minima (Konvensyen Montreal)... kita
bagi satu jumlah (pampasan)...mungkin ada pelarasan tertentu jika waris
dapat buktikan penumpang patut dapat lebih (pampasan).
"Contohnya, ahli keluarga atau mangsa berpendapatan tinggi, umur masih
muda dan patut dapat lebih banyak... kita boleh pertimbangkan," katanya.
Beliau turut ditanya mengenai syarikat insurans hayat, Persatuan
Insurans Hayat Malaysia (LIAM) yang telah menyelesaikan hampir kesemua
tuntutan bernilai RM16.875 juta oleh anggota keluarga dan waris.
Jelasnya, itu adalah insurans nyawa yang diambil sendiri penumpang yang
ada insurans dan tidak perlu menunggu deklarasi untuk tuntutan dan
pembayaran.
Beliau berkata ini berbeza berbanding MAS yang memberikan pampasan berikutan penumpang menggunakan perkhidmatan penerbangannya.
Menjelaskan mengenai keperluan deklarasi kematian penumpang pesawat
MH370, Fuad berkata kerajaan memutuskan untuk membuat deklarasi bagi
memudahkan pampasan disalurkan kepada mangsa terlibat.
Beliau berkata tanpa deklarasi, waris terpaksa menunggu sehingga tujuh
tahun (untuk isytihar seseorang yang hilang itu telah mati) untuk
meneruskan dengan tuntutan pampasan.
"Memang boleh bagi pampasan tanpa deklarasi. Tapi deklarasi penting untuk waris dapatkan pengesahan.
"Kalau ikut perundangan, kena tunggu tujuh tahun. Tapi adakah kita
hendak tunggu? Jadi kerajaan ambil keputusan untuk buat deklarasi dan
kita boleh ambil kesempatan ini untuk teruskan dengan pampasan,"
katanya.
Khamis lepas, kerajaan Malaysia mengisytiharkan kehilangan pesawat
penerbangan sebagai nahas di bawah peraturan penerbangan antarabangsa
dan kesemua 239 penumpang serta anak kapal dianggap terkorban.
Ketika membuat pengumuman itu, kerajaan Malaysia menegaskan bahawa misi
mencari pesawat Boeing 777-200ER itu tetap menjadi keutamaan.
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke
Beijing, hiland daripada imbasan radar sejam setelah berlepas dari
Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam, 8 Mac
tahun lepas.
Pesawat milik MAS itu sepatutnya tiba di ibu negara China itu pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.