Sabtu, 28 Februari 2015

Hudud: ADUN PKR mohon pencerahan pimpinan parti

Oleh Nurshakira Buang

 
Post Pic
 
 
 
PETALING JAYA: ADUN tunggal PKR di Kelantan, Roslan Puteh akan mendapatkan mandat daripada parti beliau sama ada untuk menyokong pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang bakal dibentangkan di Dewan Undangan Negeri bulan depan. 
 
ADUN Guchil itu dijangka memohon "pencerahan" daripada pimpinan PKR mengenai pendirian rasmi yang harus diambil beliau apabila pindaan itu dibentangkan pada 18 Mac. 
 
“Hari Ahad hingga Selasa saya akan bersama MB Selangor (Azmin Ali) ke Sarawak. Dalam  kesempatan itu saya akan tanya pendirian yg harus saya ambil semasa pembentangan (DUN) nanti.” kata beliau kepada Antarapos. 
 
“Secara peribadi sebagai seorang muslim saya wajib menyokong hukum hudud dilaksana,” tambah Roslan.
 
Pendirian Roslan pada sidang DUN itu akan menjadi petanda jelas sama ada PKR menyokong atau menolak hasrat PAS melaksanakan hudud di Kelantan, setelah memerintah negeri itu lebih 20 tahun. 
 
Beberapa pemimpin PKR sebelum ini mempertikaikan hasrat kerajaan negeri Kelantan melaksanakan hudud dengan mengambil pendirian yang mirip dengan DAP. 
 
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Latheefa Koya, umpamanya, menggesa kerajaan negeri Kelantan supaya mengutamakan kebajikan rakyat Kelantan berbanding hudud. 
 
"Kenapa PAS beria-ria mahu melaksanakan hudud tetapi mengetepikan objektif yang penting dalam Islam? Sudah pasti ada agenda politik di sebaliknya," kata beliau baru-baru ini.
 
Sebarang kegagalan PKR memberikan sokongan kepada PAS di DUN Kelantan dan seterusnya di Parlimen mengenai rang undang-undang hudud akan merapuhkan lagi hubungan dua parti itu di dalam Pakatan Rakyat.
 
Keadaan itu dijangka menambah tekanan ke atas PAS untuk memikirkan masa depan parti itu dalam pakatan pembangkang. 
 
"Dia (Roslan) kena runding dengan pembawa usul dan saya percaya beliau selaku seorang wakil rakyat dia ada kebijaksanaan untuk membuat satu tindakan yang mematuhi kehendak rakyat dan juga parti," kata Naib Presiden PKR Tian Chua kepada Antarapos.
 
Ditanya sama ada PKR sudah membuat sebarang keputusan mengenai rang undang-undang itu, Tian berkata:
 
"Kita sedang berbincang."
 
Sabtu lalu, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerajaan negeri akan membentangkan membincangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) itu apabila ia bersidang dari 16 hingga 19 Mac depan.
 
Sidang DUN itu tetap akan berlangsung meskipun ia bertembung dengn kempen pilihan raya kecil DUN Chempaka pada 22 Mac. 
 
Kerusi DUN itu kosong apabilan penyandangnya, bekas menteri besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat meninggal dunia baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.