Penolong Pengarah Sektor Operasi Penerbangan, Kapten Mior Nor Badrishah berkata, pasukan mencari optimis usaha pencarian di dasar laut itu akan berjaya menemui pesawat MH370.
"Tetapi harus diakui keadaan agak mencabar bagi pasukan mencari di lokasi terpencil dan belum pernah diterokai.
"Kami tetap yakin kawasan tersebut menjadi tempat berakhirnya pesawat MH370 berdasarkan data satelit yang diperolehi," katanya dalam sidang media khas Teknikal Pencarian Pesawat MH370, hari ini.
Menurutnya, fasa baharu akan mula digerakkan selepas Mei jika operasi pencarian fasa ketiga tersebut tidak berjaya.
"Pakar-pakar termasuk Kerajaan Malaysia akan duduk berbincang menentukan adakah perlu untuk memperluaskan kawasan carian ataupun menukar kawasan pencarian tersebut," katanya.
Pesawat MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing didapati hilang daripada radar pada 8 Mac lalu bersama 239 penumpang dan anak kapal, malah sehingga kini Boeing 777-200 itu masih gagal dikesan, walaupun usaha untuk mencarinya di udara dan laut dilakukan secara meluas.
Kata Mior, fasa pencarian kini membabitkan dua kapal pakar iaitu Fugro Discovery dan GO Phoenix.
Kedua-dua buah kapal itu mampu menghantar sistem sonar canggih kira-kira 5,000 meter di bawah paras laut bagi menjalankan usaha mencari menggunakan gelombang bunyi.
Katanya, sistem itu yang disambungkan ke kapal berkenaan oleh kabel tunda sehingga 10 kilometer panjang, diprogramkan untuk mengesan bahagian terbesar daripada pesawat terbabit yang dijangka masih belum berkecai, seperti enjin, peralatan untuk mendarat dan badan pesawat.
"Sekiranya ada sesuatu yang tidak normal, kapal berkenaan akan kembali ke kawasan yang dicari itu dan mengemudikan alat pengesan berkenaan dengan lebih perlahan serta lebih dalam serta menggunakan kamera untuk melihat ke dasar laut," katanya.
Sehingga kini katanya, sedalam 52,000 kilometer persegi kawasan pencarian telah dilengkapi pasukan mencari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.