Ahmad Marzuk semasa menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, semalam. Ahmad Marzuk semasa menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, semalam.
 
 
KOTA BHARU - Penyebaran berita tidak benar mengenai kesihatan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di media sosial harus dibendung dan dilaporkan kepada pihak berkuasa agar mereka tidak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.

Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary berkata, mereka yang  menyebarkan berita palsu itu  merasakan diri mereka hebat walaupun dalam tak sedar apa yang disebarkan adalah fitnah.

“Sudah beberapa kali berita mengenai ‘kematian’ Tok Guru Nik Aziz disebarkan, mungkin mereka yang menyebar berita palsu ini merasa hebat dan bangga kerana dapat buat propaganda.

“Ambo (saya) cadang kalau ada orang muda-muda, buat 'report' polis sekali, untuk kita tahu siapa yang menyebarkannya, sebab sekarang ini pihak bertanggungjawab boleh mengesan siapa yang mencetuskan mesej-mesej seperti itu,” katanya semasa menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Marzuk turut meminta orang ramai mendoakan Nik Abdul Aziz agar terus dipanjangkan umur dan diberi kesihatan yang baik untuk terus memimpin rakyat Kelantan.

Nik Abdul Aziz yang menghidap kanser prostat tahap empat kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Selasa lalu dan kini dilaporkan stabil.

Banyak spekulasi tentang kesihatan beliau termasuk berita kematiannya tersebar di laman sosial yang pastinya menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan keluarga dan sahabat terdekat serta seluruh rakyat Malaysia.

Beliau yang juga Adun Chempaka berkahwin dengan Tuan Sabariah Tuan Ishak, 67, dan dikurniakan 10 anak termasuk Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh.