Media arus perdana bagi platform kepada tokoh
pemimpin pembangkang bercakap untuk hentam mantan tokoh-tokoh pemimpin
Umno itu tidak salah.
PETALING JAYA: “Saya amat geli hati dengan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi,” kata Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas gesaan Puad supaya “Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat pihak di belakang portal Free Malaysia Today (FMT), The Malaysia Insider (TMI) dan Malaysia Kini.”
Sehubungan itu Khairuddin mempersoalkan sikap Puad yang disifatkan sebagai takut dengan bayang-bayang sendiri.
Beliau berkata, tidak ada siapa yang boleh memecahbelahkan UMNO sekiranya parti itu mempunyai mutu kepimpinan terutama dalam membela rakyat di tanah air sendiri.
“Saya akui hanya UMNO yang benar-benar terbaik dalam membela rakyat daripada pelbagai kaum di tanah air kita. Tetapi dalam masa yang sama kadangkala kita turut mempunyai pelbagai kelemahan serta kesilapan dalam kepimpinan parti mahupun negara,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.
Khairuddin juga berkata, kini generasi ‘Y’ lebih suka dan yakin dengan media sosial kerana banyak kalangan mereka berani memuatkan berita-berita yang hakikat serta ada asas kebenaran.
Khairuddin mengakui terdapat segelintir saluran media sosial ada yang emosional dan tidak rasional, namun ia adalah lumrah dalam bidang kewartawanan.
“Apa yang lucu bila kita bercakap melalui media sosial segelintir daripada pemimpin UMNO mengatakan kononnya nak rosakkan parti.
“Tetapi kalau saluran media arus perdana bagi platform kepada tokoh pemimpin pembangkang bercakap untuk hentam mantan tokoh-tokoh pemimpin Umno itu tidak salah,” tambahnya.
Katanya, inilah sikap paranoid segelintir daripada pemimpin Umno yang tidak disenangi oleh rakyat khususnya generasi ‘Y’.
Beliau menegaskan, pemimpin paranoid yang takut pada bayang sendiri seperti Puad Zarkashi sudah tidak relevan lagi dan tambahnya, “pemimpin yang macam inilah yang membuatkan UMNO tidak popular.”
Sehubungan itu Khairuddin menasihatkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu tidak perlu berasa risau dan takut pada bayangan sendiri.
“Seandainya kepimpinan kita berteraskan pada perjuangan yang ikhlas untuk memelihara kesejahteraan rakyat secara telus mahu menyeluruh maka tiada siapa yang dapat mengganggu gugat UMNO. UMNO akan terus kuat serta relevan,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.