Oleh : AFEEQA AFEERA
SHAH ALAM : Golongan nelayan yang menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri diingatkan supaya tidak mengambil jalan mudah dengan menjual semula peralatan terbabit kepada sindiket bagi meraih keuntungan.
Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, pihaknya ada menerima aduan berhubung masalah berkenaan sebelum ini yang bukan sahaja berlaku dalam kalangan nelayan di Selangor, bahkan seluruh negara.
“Sebenarnya, kita tidak boleh salahkan mereka 100 peratus kerana terdapat aduan sebelum ini yang melaporkan bantuan yang diberikan itu bukan sesuatu yang diperlukan.
“Contohnya, mereka tidak perlukan bot atau enjin tetapi kita beri, sedangkan golongan nelayan ini mungkin memerlukan bantuan kewangan. Itu antara faktor yang mungkin menyebabkan mereka terpaksa menjual peralatan terbabit bagi mendapatkan wang dan membeli keperluan lain,” katanya kepada Selangor Kini.
Beliau berkata, kebanyakan nelayan menggunakan jalan singkat untuk meraih hasil lumayan tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap pendapatan mereka pada masa akan datang.
Sehubungan itu, Zaidy berkata, elemen kerohanian dan modal insan sentiasa diguna pakai dalam ucapannya supaya golongan nelayan sentiasa amanah terhadap bantuan yang diberikan.
“Mereka perlu memikirkan jangka masa panjang dan apa yang saya sampaikan dalam ucapan adalah supaya mereka tahu bantuan berkenaan sebagai satu amanah daripada wang rakyat yang diberikan.
“Perkara ini adalah perkara biasa, namun saya ingatkan mereka supaya tidak terpengaruh dan bersekongkol dengan sindiket,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Templer.
-NFN-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.