OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Ketika Putrajaya membelanjakan hampir RM800 juta
untuk membantu mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara, terdapat
beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas
kesulitan mangsa banjir.
Timbul dakwaan barangan keperluan makanan yang sepatutnya diagihkan
kepada mangsa banjir tidak diterima mereka seperti yang sepatutnya
apabila sebahagian daripada sumbangan berkenaan "dilarikan" mereka yang
tidak bertanggungjawab.
Antara insiden berkenaan termasuklah misi bantuan pasca banjir
pertubuhan sivil ke perkampungan Orang Asli suku Temiar di kawasan Gua
Musang, Kelantan semalam yang dicemari insiden "rompakan" apabila
bantuan beras didakwa dilarikan pihak berkenaan.
Menurut jurucakap kumpulan sukarelawan tersebut, Siti Zabedah Kassim,
seorang peguam hak asasi manusia daripada Majlis Peguam, lori dengan
muatan 3 tan yang digunakan mengangkat barangan keperluan harian bagi
diagihkan di sekitar 20 perkampungan orang asli di pedalaman negeri itu
lesap bersama muatan mereka.
Insiden berkenaan dipercayai berlaku ketika salah sebuah daripada 8
lori yang digunakan untuk mengangkut barangan keperluan harian seperti
beras, gula, sardin, biskut, dan banyak lagi, bernilai lebih RM50,000,
sumbangan daripada syarikat Allianz Malaysia dan individu persendirian,
dari Kuala Lumpur ke Gua Musang tidak tiba seperti yang dijadualkan.
Beliau difahamkan oleh penduduk orang asli di Kampung Parek, 7 lori
tiba di Gua Musang sekitar jam 12 tengah malam, dan ketika di kawasan
perkampungan yang dijadikan pusat pengumpulan sebelum bekalan diagihkan
ke kampung berdekatan kira-kira sejam kemudian, sebuah lori bersama
muatan beras tiada di lokasi.
"Mereka memaklumkan saya sebuah lori tiada di Kampung Parek, sedangkan
kesemua lori itu tiba di Gua Musang," kata Siti kepada The Malaysian
Insider, di Kelantan.
Malah, beliau turut mendakwa, pemandu lori yang menghantar barangan
makanan kepada penduduk orang asli tersebut turut mengambil sumbangan
yang diberikan orang ramai atas alasan masyarakat orang asli berkenaan
"sudah mempunyai banyak stok makanan".
"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku, penderma semua perlu
pastikan barangan yang didermakan mereka sepatutnya tiba ke kawasan
mangsa banjir," kata Siti, kepada The Malaysian Insider.
Malah, turut timbul dakwaan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab
menyimpan stok bantuan kepada mangsa banjir dan tidak mengagihkan
bantuan makanan berkenaan kepada penduduk orang asli yang terjejas
banjir.
Banjir yang melanda negara pada penghujung Disember 2014 adalah antara
yang terburuk apabila hampir 200,000 orang dilaporkan menjadi mangsa
banjir.
Negeri di pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang antara
kawasan terburuk terjejas akibat banjir apabila terdapat penduduk yang
kehilangan kediaman mereka apabila rumah mereka dihanyutkan air deras.
Tinjauan The Malaysian Insider di lokasi perkampungan orang asli di
pedalaman Gua Musang semalam juga mendapati kediaman mereka masih lagi
terbiar dengan sebahagian daripada mereka kini mula membina pondok di
kawasan bukit apabila kediaman mereka tidak lagi boleh digunakan.
Selain menggunakan khemah dan kanvas, mereka yang terjejas juga turut
menggunakan buluh untuk membina pondok kediaman sementara menunggu
kediaman mereka boleh diduduki semula.
Sukarelawan misi bantuan banjir juga terpaksa menggunakan kenderaan
pacuan roda (4WD) dan helikopter untuk memasuki kawasan kampung
terpencil kerana kemudahan jalan perhubungan terjejas akibat banjir.
Terdapat sebahagian kawasan perkampungan penduduk orang asli juga tidak
mempunyai pilihan lain selain menantikan bantuan dan sumbangan makanan
daripada pihak luar apabila sumber makanan dan tanaman mereka musnah
dilanda banjir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.