SINGAPURA - Operasi mencari dan mengesan (SAL) penerbangan AirAsia Indonesia yang hilang, memasuki hari kedua hari ini, dengan jiran terdekat, Malaysia dan Singapura, menghulurkan bantuan segera.
Operasi itu dihentikan sementara pada petang Ahad berikutan cuaca gelap dan buruk.
Penerbangan QZ8501 bersama 162 orang berlepas pada 5.20 pagi dari Surabaya, Indonesia dan dijadual mendarat di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 8.30 pagi. Kali terakhir pesawat itu menghubungi Pusat Kawalan Trafik Udara ialah pada 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia).
Singapura menghantar dua pesawat C-130 Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) dan beberapa kapal Tentera Laut Republik Singapura (RSN) untuk membantu operasi itu.
Menteri Pertahanan Kedua Singapura Chan Chun Sing berkata ini bukan kali pertama Singapura dan Indonesia bekerjasama, dan hubungan rapat sedia ada antara kedua-dua negara akan memudahkan operasi itu.
“Saya percaya, melalui hubungan kukuh yang dibina Indonesia dan Singapura sejak sekian lama serta merentasi semua peringkat, daripada peringkat politik tertinggi hinggalah kepada pemerintah tentera, kami akan dapat bekerjasama rapat serta melaksanakan operasi mencari dan mengesan ini dengan berkesan," katanya.
Sementara itu, tiga kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dikerah menyertai operasi mencari dan mengesan pesawat itu pada Ahad malam.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan berkata kapal berkenaan ialah KD Pahang, KD Lekir dan KD Lekiu, yang membawa sebuah helikopter Fennec.
Kata Hishammuddin beliau telah berbincang dengan Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu dan memaklumkan bahawa Malaysia sedia menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan kerajaan Indonesia berlandaskan semangat perpaduan Asean.
Pesawat yang hilang itu membawa 155 rakyat Indonesia, tiga rakyat Korea Selatan, seorang rakyat Singapura, seorang rakyat Malaysia, seorang rakyat Britain dan seorang rakyat Perancis. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.