Runtuhan tanah di laluan A117 dekat Kampung Meranti Lapan, Jalan Lahat semakin serius. Runtuhan tanah di laluan A117 dekat Kampung Meranti Lapan, Jalan Lahat semakin serius.
 
 
BATU GAJAH – Pengguna jalan raya yang melalui jalan utama dari Batu Gajah ke Changkat Larang di laluan A117 bimbang dengan kejadian tanah runtuh berhampiran Kampung Meranti Lapan, Jalan Lahat dekat sini.

Seorang pengguna jalan raya, Muhd Zulfiqar Abd Kudus, 25, berkata, runtuhan itu semakin serius sejak seminggu lalu sehingga membentuk sebuah lubang besar di bawah jalan.
“Kejadian ini sudah seminggu lalu dan kebelakangan ini runtuhan tanah tersebut semakin besar dan lebar hingga membimbangkan pengguna.

“Kejadian itu berlaku ketika hujan lebat pada 26 November lalu di Batu Gajah menyebabkan air menyerap permukaan tanah lalu berlaku hakisan di laluan ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semalam.

Menurutnya, lebih membimbangkan, runtuhan tersebut sudah menghampiri permukaan jalan utama dan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu.

Katanya, runtuhan tanah sudah menghampiri tepi jalan raya dan sekiranya hujan lebat berterusan minggu ini, berkemungkinan akan berlaku keretakan serta hakisan tanah hingga ke permukaan jalan raya di situ.

Muhd Zulfiqar berkata, keadaan jalan terbabit yang gelap menambahkan kebimbangan pengguna yang melalui jalan terbabit waktu malam.

“Walaupun pihak berwajib ada meletakkan tanda amaran dan kon di tepi jalan yang runtuh namun ketiadaan lampu jalan di kawasan terbabit mampu menyumbangkan kepada kemalangan.

“Kita minta pihak berwajib segera membaik pulih permukaan tanah runtuh itu untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berulang terutama dalam musim tengkujuh ini,” katanya.