Rabu, 31 Disember 2014

RON95 paling tinggi dijangka RM1.95 seliter

MALAYSIAKINI


 


Harga petrol RON95 dan diesel dijangka turun kepada RM1.90 hingga RM1.95 seliter mulai 1 Januari tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata pengumuman berhubung perkara itu akan dibuat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna.

“Harap peniaga-peniaga akan turunkan harga barang!” tambah Ahmad (kanan) di Twitter sebentar tadi.

RON95 kini dijual pada RM2.26 seliter manakala diesel pula RM2.23 seliter.

Ahmad pada 19 Disember lalu berkata harga runcit RON95 dan diesel dijangka turun bawah paras RM2 seliter mulai 1 Januari jika harga minyak dunia kekal mengalami penurunan.

Katanya, harga runcit itu boleh dicapai kerana bagi 18 hari pertama bulan ini, harga purata minyak RON95 dan diesel jatuh di bawah paras RM2 seliter.

Bakal tenteramkan pengkritik

Penurunan harga itu, jika menjadi kenyataan, dilihat bakal mendiamkan pembangkang dan kumpulan pengkritik yang menjalankan kempen intensif menuntut harga RON95 diturunkan kepada RM1.90 seliter.

Kumpulan itu, dikenali sebagai TURUN, pada mulanya bercadang mengadakan perhimpunan besar-besaran di ibu negara esok malam sempena ambang tahun baru bagi memberi tekanan kepada kerajaan.

Ia bagaimanapun ditangguhkan ekoran banjir besar yang melanda beberapa negeri, terutamanya di Kelantan.

Pembangkang, melalui Naib Presiden PKR Rafizi Ramli pada 20 Disember berkata, pengguna menanggung harga tinggi untuk RON95 sedangkan harga purata  bagi 15 hari pertama (kiri) Disember tahun ini kurang daripada RM2 seliter.

Kerajaan kini mengguna pakai kaedah apungan terkawal bagi menentukan harga minyak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.