Selasa, 30 Disember 2014

Permudahkan Golongan Gelandangan – Pertiwi Soup Kitchen

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 
Sukarelawan Pertiwi Soup Kitchen sedang memberikan minuman kepada golongan gelandangan.
 
 
 
KUALA LUMPUR: Isu gelandangan di ibu negara menjadi topik hangat tahun ini apabila Kementerian Wilayah Persekutuan memutuskan aktiviti ‘Dapur Jalanan’ yang antara lain memberi makanan percuma kepada golongan itu dilarang beroperasi dalam lingkungan 2 kilometer dari pusat membeli-belah Lot 10 di sini, Julai lalu.

Namun akhirnya Dapur Jalanan dibenarkan beroperasi seperti biasa tanpa sebarang tempoh tertentu malah terdapat usaha menyediakan tempat khas untuk golongan itu.

Pertiwi Soup Kitchen, salah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menyalurkan makanan percuma, bantuan perubatan dan khidmat nasihat kepada gelandangan menerima tamparan hebat daripada pelbagai pihak akibat kontroversi itu.

Pengasasnya, Munirah Abdul Hamid berkata, antaranya ialah dakwaan NGO membela pengemis asing terutama di kalangan warga Rohingya, Myanmar yang dipercayai dikawal sindiket.

“Kita berusaha memperbetulkan salah faham itu. Kita tidak memberi makanan kepada pengemis itu, sebaliknya warga tempatan sebagai gelandangan.

“Selepas beberapa bulan, ramai yang mulai faham peranan kami. Sekarang kita mahu melangkah ke hadapan, bagaimana untuk terus bantu golongan ini.

“Kita bantu permudahkan mereka. Walaupun tiada tempat tinggal, kita boleh bantu mereka merasai keselesaan seperti orang lain dengan kemudahan-kemudahan tertentu,” katanya kepada mStar online dalam satu temuramah, baru-baru ini.

Munirah Abdul Hamid.

Munirah berkata, bukan semua gelandangan tiada pekerjaan kerana segelintir mereka datang ke Kuala Lumpur untuk bekerja bagi menyara keluarga di kampung.

Jelasnya, mereka hanya kurang bernasib baik kerana dengan pendapatan yang kecil, mereka tidak mampu menyewa tempat tinggal di bandar.

“Ada yang tidur di tempat beribadat seperti masjid dan gereja kerana ia merupakan kawasan yang lebih bersih serta mempunyai kemudahan tandas dan mandi.

“Jadi, kita mahu bantu mereka dengan menyediakan kemudahan membasuh baju seperti dobi layan diri, lokar untuk menyimpan barang berharga,” katanya sambil menambah terdapat kira-kira 1,500 gelandangan di sekitar ibu negara.

Golongan gelandangan sedang beratur untuk mendapatkan makanan percuma.
 
Menurut Munirah, NGO itu boleh menyumbangkan mesin basuh dan mesin pengering untuk kegunaan gelandangan mempunyai pakaian bersih setiap hari.

Tambahnya, dengan kemudahan itu dapat mengubah persepsi mengenai gelandangan yang sering dilihat sebagai pengotor, selekeh dan berbau.

“Apa yang kita minta ialah ruang untuk meletakkan kemudahan-kemudahan itu. Ada tempat mandi, tandas, basuh baju dan simpan barang sudah mencukupi buat mereka.

“Kita tidak boleh selesaikan atau sediakan segala-galanya untuk mereka, tetapi sekurang-kurangnya kita mempermudahkannya ikut kemampuan kita,” katanya.

Beliau berkata, ia akan memberi motivasi bagi membantu mengubah diri mereka dari menjadi gelandangan kepada seorang yang maju dengan kehidupan lebih baik.

“Sehubungan itu, kita berharap supaya tempat-tempat beribadat di sekitar Kuala Lumpur seperti di Masjid Negara dapat mempertimbangkan cadangan ini,” katanya.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membuat tinjauan aktiviti 'Dapur Jalanan' yang melibatkan NGO seperti Pertiwi Soup Kitchen pada Julai lalu. Turut serta Menteri Wilayah 
Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. 

Mengenai rumah perlindungan, Munirah berkata, terdapat beberapa lokasi yang dirancang untuk menempatkan golongan gelandangan iaitu di Chow Kit dan Jalan Pahang termasuk kemudahan berkaitan di Dang Wangi.

Walaupun ia merupakan satu cadangan yang baik namun beliau berpendapat banyak perkara perlu diteliti terlebih dahulu sebelum melaksanakannya.

“Bagaimana kita mahu menghimpunkan semua gelandangan - warga emas, berpenyakit, ibu tunggal dan anak, orang muda dan lain-lain, di bawah satu bumbung.

“Kita perlu merancang seperti agensi manakah yang akan bertanggungjawab terhadap rumah perlindungan ini, siapa yang akan menjaga penghuni, peruntukan dana, kesesuaian untuk menempatkan mereka dari aspek kesihatan dan keselamatan.

“Oleh itu buat masa ini, kita memerlukan sesuatu untuk mempermudahkan kehidupan mereka sebelum ditempatkan di rumah perlindungan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.