Rabu, 31 Disember 2014

Pastikan semua mangsa terima bantuan banjir

MSO


Pihak bertanggungjawab menguruskan bencana banjir; mennyelamat dan menyalurkan bekalan makanan sama ada di pihak kerajaan negeri atau pun Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau pun parti-parti politik harus lebih prihatin untuk memastikan mangsa banjir dilayani sebaik mungkin dan tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan apa lagi ada mangsa banjir dianak tiri atau tidak dipedulikan.

Lori  membawa bantuan daripada rakan Fb sudah bergerak.

Sebaik keadaan banjir mulai surut dan jalan-jalan utama untuk berhubung ke kawasan dilanda banjir dibuka semula, kini berbondong-bodong barangan bekalan dan segala macam keperluan dibawa baik oleh agensi kerajaan maupun badan-badan sukarelawan, dan orang perseorangan.

Malam tadi sepanjang jalan menuju ke Pantai Timur dari lebuh raya Karak baik memasuki ke jalan Gua Musang atau ke Kuatan - Terengganu kelihatan banyak lori berbagai saiz membawa barang dipercayai bekalan untuk mangsa banjir.

Bukan itu sahaja, ratusan buah kenderaan pancuan empat roda, 4x4 yang sarap dengan barang juga kelihatan menuju menghala ke Jalan Gua Musang dan Kuantan. Kenderaan itu yang sarap dengan muatan dipercayai membawa bekalan untuk mangsa-mangsa banjir.

Sekejap tadi saya ke pasar raya NSK di Selayang untuk membeli barangan asas bagi dihantar ke Nenggeri, Gua Musang, sempat menyaksikan orang ramai yang membela belah barangan asas dalam jumlah yang besar. Dipecayai mereka juga membeli barangan keperluan untuk dihantar kepada mangsa banjir.

Sekitar jam 10:00 pagi, tadi terdapat kira-kira 10 buah lori yang diisi dengan beras, gula, minyak masak, garam, sardin, sabun dan lain-lain. Keadaan demikian menurut seorang juruwang di pasar raya berkenaan berlaku sejak dua tiga hari lepas dan keadaan meningkat sejak kelmarin. Pasar raya berkenaan dibuka 24 jam.

Apa yang disaksikan itu penghantaran barangan keperluan menerusi jalan darat. Penghantaran barangan untuk membantu mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang juga dilakukan menerusi udara dan sebagainya.

Sementara itu berbagai pihak yang simpati dengan nasib mangsa banjir telah membuka pusat-pusat punggutan bekalan masing-masing. Ada yang membuka pusat punggutan di surau, masjid dan juga dewan orang ramai.

Manakala ada individu pula mengambil inisitiaf membuat pengumpulan barangan dan kutip derma untuk membela barangan dan menghantar sendiri. Facebook menjadi medium utama untuk menghimpun derma dan menghebahkan barangan untuk dihantar kepada mangsa banjir.

Dalam pada itu blog Merah Tinta juga tidak ketinggalan ikut sama berpartisipasi. Hasil daripada sumbangan ikhlas para penjengok blog Merah Tinta dan rakan Facebook saya hari ini bekalan berkapasiti lori lima tan di hantar ke Kelantan.

Lokasi yang menjadi tumpuan ialah di beberapa buah kampung di Nenggeri, Gua Musang. Penduduk kampung berkenaan hampir 90% dilanda banjir dan merupakan antara kawasan yang lambat menerima bantuan banjir. Alhamdulilah lori yang membawa bekalan makanan dan pakaian hasil punggutan Tabung Mangsa Banjir Bukit Bekok kini dalam perjalanan ke destinasi.

Komitmen semua pihak dalam menumpahkan simpati bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir ini sesuatu yang membanggakan. Masyarakat bangkit menggerakkan aktiviti masing-masing tanpa ada kerahan daripada mana-mana pihak. Melihat berbagai pihak membantu itu, kita (saya) sudah tidak terfikir lagi akan ada mangsa banjir yang terbiar ataupun tidak mendapat keperluan mereka.

Mungkin kini sudah berlaku timbunan bekalan makanan dan bekalan untuk mangsa banjir di Kelantan. Adalah diharap semua mangsa banjir tidak "mipat" seorang pun untuk mendapatkan bantuan.

Dalam pada itu bagi memudahkan para derma dan orang ramai menghulurkan sumbangan elok kalau pihak Jawatankuasa Benca Banjir Negeri, dan juga MKN menyenaraikan kawasan-kawasan yang masih kritikal atau memerlukan bantuan segera. Dengan adanya senarai lokasi itu ia memudahkan para penderama atau mana-mana pihak yang berhajat menyampaikan derma masing-masing.

Tanpa penyenaraian kawasan itu menyebabkan berlaku pertindihan penghantaran bekalan dan bantuan. Ada mangsa di kawasan tertentu menerima sampai dua tiga kali bantuan sementara di kawasan lain pula mangsa baru menerima sekali bekalan dan bantuan sahaja.

Kelambatan atau ketiadaan senarai seperti ini ia menyukarkan pihak-pihak yang ingin menyalurkan bekalan secara langsung kepada mangsa. Sesetengah penyumbang hanya meninggalkan barangan mereka di pusat-pusat pemindahan yang ada kalanya tidak diketahui ke mana barangan itu disalurkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.